MRSM Jambatan Pelajar Ke Luar Negara.

Pelajar MRSM Langkawi bersama ibu bapa, guru pengiring dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 27 Jun 2019 – Kejayaan lima pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang memenangi anugerah Perak dalam kategori Inovasi Sains (IS) melalui projek ‘Interactive Rehab; Hand Rehabilitation Device With Computer Graphic Interaction’ membuktikan bahawa MRSM memberi pendedahan kepada pelajar untuk meluaskan bakat dan kemahiran di mata dunia.

Pada 17 hingga 22 Jun 2019, lima orang pelajar MRSM Langkawi bersama seorang guru pengiring Puan Zaitun Binti Abdullah terpilih sebagai finalis pertandingan Genius Olympiad 2019 dan telah meraih anugerah Perak.

Tujuan penubuhan MRSM ialah menyediakan sistem pendidikan yang memberi fokus dalam bidang STREAM iaitu Science, Technology. Religion, Engineering, Arts and Mathematics. Sejajar dengan perkembangan Industri 4.0 (IR 4.0), sistem pendidikan MRSM mengambil inisiatif yang tinggi untuk melahirkan pelajar yang mempunyai daya pemikiran yang kritis, kreatif, inovatif, berjiwa usahawan, serta mempunyai semangat patriotik dan nasionalisme yang tinggi.

Kata Puan Julia, 46, ibu kepada Muhammad Irfan, “MRSM bukan sahaja tempat untuk akademik tetapi peluang anak-anak untuk menyertai program luar negara sangat luas.”

Tambahnya lagi, “saya sangat berterima kasih kepada pihak MRSM dan terutamanya pihak MARA kerana memberi sokongan yang kuat kepada anak-anak kami hingga mencapai ke tahap ini.”

Ibu tersebut turut berasa bangga kerana anaknya dipilih untuk mewakili Malaysia dan memperoleh kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

Perkara ini menunjukkan bahawa MRSM berupaya membentuk pelajar yang cemerlang dalam aspek intelektual, keagamaan, sukan, dan berinovasi. Pihak MARA dan MRSM sentiasa memberi komitmen yang tinggi dengan menyediakan platform kepada pelajar untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka ke tahap yang maksimum.

Kontinjen pelajar MRSM Langkawi yang diketuai oleh adik Muhammad Irfan Bin Mohd Nazri, serta Nur Hakimi Haque Bin Nurul Haquem Ahmad Ikmal Kasim, Haziq Haikal Bin Hadnan, Muhammad Muazzam Bin Mohd Muzaini bersama guru pengiring iaitu Puan Zaitun Abdullah telah tiba di tanah air pada jam 10.30 pagi tadi.

Kehadiran mereka telah disambut oleh tiga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA iaitu Puan Noor Habibi, Encik Ghazali Musa, dan Encik Ahmad Syukri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama ibu bapa pelajar.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.