Kolej MARA Banting diserbu dalam Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPLB

Rina Mohd Harun beramah mesra bersama penduduk setempat yang menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kolej MARA Banting.

Oleh : Aisyah Mislanni
media@mara.gov.my

BANTING, 21 Jun 2019 – Kolej MARA Banting hari ini diserbu penduduk setempat dalam Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2019.

Majlis yang disambut meriah ini turut beramah mesra bersama 100 orang asnaf, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya.

Meskipun diadakan pada sebelah malam ternyata majlis ini mendapat sokongan padu lebih 3000 penduduk setempat yang hadir bagi memeriahkan majlis.

Menariknya, hampir kesemua juadah yang dihidangkan merupakan juadah yang telah disediakan dan dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk setempat dalam program Rewang yang diadakan bersama Menteri KPLB, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun pagi tadi.

Majlis tersebut berlangsung di Kolej MARA Banting, merupakan sebuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang menawarkan International Baccalaureate yang merupakan program pra-universiti.

YB Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam ucapannya berkata, program seperti ini patut dikekalkan agar dapat memupuk hubungan silaturahim sesama penduduk tidak kira kaum dan agama.

Dalam majlis ini juga, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal, golongan asnaf, anak-anak yatim dan orang kurang upaya.

“Terima kasih kepada penduduk setempat dalam memeriahkan majlis ini. Kehadiran dan sokongan penduduk yang hadir dengan berpakaian bewarna-warni dan ceria telah menaikkan seri di Majlis Sambutan Hari Raya,” tambahnya lagi.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPLB, YB Sivarasa K. Rasiah dan Datuk Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA.

This entry was posted in Korporat, Pendidikan. Bookmark the permalink.