Rina Harun santuni penduduk Kampung Bukit Changgang

Rina Harun bersama penduduk kampung menganyam ketupat untuk juadah jamuan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2019.

Oleh : Azimah Asri
media@mara.gov.my

Banting, 21 Jun 2019 – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyantuni penduduk Kampung Bukit Changgang dalam satu program Rewang di sini hari ini.

Beliau yang turut ditemani Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus bersama pengurusan tertinggi KPLB meluangkan masa kira-kira dua jam dan beramah mesra dengan penduduk setempat serta melakukan aktiviti mengacau dodol, menganyam ketupat dan membuat kuih muih sebagai persedian untuk Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPLB 2019 yang akan berlangsung pada malam ini di Kolej MARA Banting, Selangor.

Seorang penduduk kampung Che Aisyah Tukiman, 60, berasa amat bertuah apabila seorang menteri pilihan rakyat sudi bertandang serta beramah mesra bersama penduduk kampung untuk bertanyakan khabar dan mendengar luahan penduduk setempat.

“Walaupun hanya singgah sebentar namun Rina Harun sempat melayan mesra bersama seluruh penduduk kampung,” tambah beliau

“Inilah antara kriteria seorang wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat untuk sentiasa turun padang mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh rakyat,” kata Haji Mohd Alias Hamdi yang merupakan ketua kampung di situ.

Program Rewang ini turut disertai oleh lebih 1000 orang penduduk disekitar Kampung Bukit Changgang.

Penduduk setempat dan orang ramai dijemput hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPLB ini yang akan diadakan di Kolej MARA Banting bermula jam 8.00 malam sehingga 11.00 malam.

Pelbagai menu turut disediakan khas untuk penduduk setempat seperti sate, dodol, kambing golek, ketupat serta pelbagai kuih-muih dan buah-buahan tempatan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.