Oleh: Ziela Amin
Kuala Lumpur, 3 Jun 2019 – Syaza Raehah Mohamad Haris, 31, satu-satunya wanita yang bekerja sebagai mekanik penyelenggaraan kapal terbang di sebuah syarikat penerbangan swasta di Lapangan Terbang Antarabangsa, Senai, Johor Bahru. Gadis yang berasal dari Johor ini membuktikan wanita juga mampu ceburi dan bekerja di dalam bidang yang dipelopori oleh kaum lelaki ini.
Gadis ini bekerja sebagai mekanik penyelenggaraan kapal terbang (avionics specialist) dengan Executive Jets Asia Sdn Bhd Senai mengakui seronok kerana dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan pengetahuan baru sepanjang empat tahun menceburi bidang berkenaan.
Menurut Syaza, beliau merupakan seorang yang lasak, pandai membawa diri juga sentiasa berdikari sekaligus membolehkan beliau bekerja dalam kalangan lelaki dan beliau tiada masalah untuk bergaul dengan mereka.
“Saya memang lasak sejak kecil dan mempunyai ramai kawan lelaki. Jadi, saya tiada masalah bergaul dan selesa bekerja dengan mereka bahkan mendapat kepercayaan untuk menyelenggara pesawat,”katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kapal Terbang (Kepujian) Avionik UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).
Tambah Syaza, cabaran utama bekerja dalam bidang ini, beliau harus mahir dengan sistem sesebuah pesawat dan cekap mengenal pasti masalah dan jenis komponen yang rosak.
Ditanya mengenai perancangannya Syaza berkata, dia bakal menyambung pengajian peringkat master di dalam bidang aeronautik Ogos tahun ini di Embry-Riddle Aeronauticals University, Florida, United State yang dibiayai oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Gadis ini pernah merantau ke Nashville Tenneesee untuk mengikuti kursus dan ujian kecekapan serta pernah bertugas sebagai flight mechanic ke Abu Dhabi, Al Ain, India, Thai, Miyanmar, Indonesia dan Palau.