“MARKETING” INSPIRASI KEJAYAAN

WhatsApp Image 2019-05-28 at 5.34.23 PM

Oleh : Siti Rodiah Yeah

Kak Shila, bukan nama sebenar dan pelbagai nama samaran yang digunakan untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Itulah antara strategi pemasaran yang digunakan oleh Hafiz Sulaiman seorang usahawan yang latar belakang pendidikannya adalah dalam bidang kejuruteraan.

Butik Fazlezza, Butik Papilio, Butik Fantasia dan juga Papascarf antara butik tudung yang diusahakan sebelum ini. Kejayaan dalam perniagaan tersebut telah menyebabkan Hafiz mengorak langkah mencuba bidang automatif pula. Beliau mempraktikkan ilmu pemasaran yang sama dan ia ternyata membuahkan hasil dan Konoha Tyres adalah buah tangannya yang pertama dalam bidang yang berbeza.

Konoho Tyres merupakan satu jenama yang diusahakan oleh Konoha Garage Sdn Bhd yang telah beroperasi lebih dari 2 tahun dan mempunyai tenaga kerja seramai 20 orang.  Konoha Tyres yang baru beroperasi selama 10 bulan ketika itu di Sri Rampai telah membuat keputusan untuk menambah satu lagi kedai servis tayar di Taman Bolton untuk menampung permintaan pelanggan yang sangat tinggi.

Konoho Garage Sdn Bhd adalah antara usahawan yang mendapat kemudahan pembiayaan MARA di bawah kluster automotif di mana kemudahan tersebut digunakan untuk modal pusingan dan juga pembelian mesin yang digunakan di pusat servis tersebut.

Lawatan dan temubual pihak media MARA di pusat servis di Sri Rampai baru-baru ini, memperlihatkan ramai pelanggan yang sedang berurusan di sana. Tidak hanya menyediakan servis tayar, Konoha Tyres turut menyediakan perkhidmatan asas penyelenggaraan kereta dan lain-lain.

Menurut Azman salah seorang pelanggan yang ditemubual berkata “memilih berurusan di Konoha Tyres kerana harga yang ditawarkan berpatutan dan perkhidmatan yang disediakan mesra pelanggan”.

Pemiliknya Mohd Hafiz Sulaiman yang ditemubual berkata, “usahawan baru yang berminat dalam bidang perniagaan perlu mempunyai mental dan fizikal yang kuat.” Tambah beliau lagi, “usahawan perlu berani untuk melaburkan modal untuk strategi pemasaran.”

Pemasaran sangat penting untuk meningkatkan jualan dalam perniagaan. Zaman teknologi ini rata-rata maklumat dihujung jari. Apa sahaja jenis perniagaan yang diiklankan di medium media sosial akan memberi impak yang besar kepada perniagaan. Kuasa tular pembeli atau pengguna perkhidmatan adalah salah satu cara perniagaan itu mendapat sambutan.

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.