TIPS BALIK KAMPUNG : ELAKKAN TAYAR TIRUAN

WhatsApp Image 2019-05-28 at 5.33.36 PM

Oleh : Mohd Taufek Mohd Noh

Dalam kesibukan menyambut kedatangan bulan Syawal, pastinya ramai yang telah merancang untuk pulang ke kampung halaman berhari raya bersama keluarga tercinta sama ada menggunakan kenderaan darat mahupun udara. Ada juga yang sanggup buat apa sahaja asalkan dapat beraya di kampung.

Bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga selamat sampai ke destinasi yang hendak dituju, jangan lupa untuk memastikan beberapa perkara ini diberi perhatian antaranya memastikan enjin kereta telahpun diselenggara dengan baik, keadaan brek kereta dapat berfungsi dengan baik, kondisi lampu kereta dapat menyala dengan sempurna, dan yang paling utama adalah keadaan tayar mestilah dalam kondisi yang selamat.

Menurut Mofaz Sulaiman, Pengurus Konoha Garage “tayar adalah elemen utama untuk menggerakkan kenderaan selain enjin yang berfungsi dengan baik.” “Jika ia rosak, ia boleh menyebabkan kemalangan sekaligus mengancam nyawa pemandu dan penumpang tanpa diduga”.

Banyak perkara perlu diambil tahu dalam mengenali tahap tayar sama ada masih selamat digunakan ataupun tidak. Tahap kehausan tayar juga boleh dilihat dengan mata kasar. Bunga tayar yang semakin licin menunjukkan penggunaan perjalanan yang tinggi.

“Dengan hanya meletakkan duit syiling 20 sen pada bunga tayar kereta, pengguna boleh menilai sendiri sama ada tayar itu perlu ditukar ataupun tidak.” Ini antara tips yang dikongsikan oleh pengurus Kanoha Garage pada sesi temubual bersama media MARA.

Katanya lagi, “angin tayar juga memainkan peranan dalam aspek penjagaan tayar supaya tayar sentiasa berada dalam kondisi yang selamat”.

“Jangan lupa periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya dua kali sebulan.” Tekanan tayar boleh dilihat pada pelekat yang lazimnya diletakkan di bahagian pintu pemandu sebagai rujukan.

“Jangan pam tayar lebih tinggi daripada had yang disyorkan dan jangan pula biarkan tekanan angin tayar berada di bawah paras yang dicadangkan.” Para pemandu semua dinasihatkan agar sentiasa pastikan angin tayar adalah betul mengikut had tekanan yang telah ditetapkan.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat pada semua dan semoga selamat sampai ke destinasi yang hendak dituju.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.