‘Sebaik-Baik Manusia Adalah Yang Memberi Manfaat Kepada Insan Lain’

Dailami Daniel (dua dari kanan) penerima Anugerah Perdana Belia Negara oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad

Kuala Lumpur, 23 Mei 2019 – Berpegang kepada falsafah hidup bahawa ‘sebaik-baik manusia, adalah yang memberi manfaat kepada insan lain.’ Dailami Daniel Mat Nor 28, alumni MRSM Besut, Kolej MARA Kulim dan UniKL MIMET merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukarelawan serta mempamerkan sifat kepimpinan tinggi.

Calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Tun Abdul Razak ini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2019 bagi Kategori Emas Remaja Perdana yang disampaikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Terengganu ini, seorang pemimpin perlu mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya untuk bertindak. Penerima Biasiswa Tun Rahah yang juga penerima Anugerah Nadi Negara 2016 itu mengakui segala pengikitrafan dimiliki adalah sebagai inspirasi kepada diri sendiri untuk terus menyumbang bakti dan memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya dalam pembangunan belia Malaysia.

“Siapa pun saya hari ini, sejarahnya bermula dari seorang guru, Selamat Hari Pendidik 2019. Terima kasih cikgu”

“Saya masih teringat kenangan di MRSM Besut, semua guru sangat cakna kepada setiap anak didiknya, bahkan sekiranya kami tidak hadir ke kelas, pasti kami akan dicari dan tiada ruang untuk kami ponteng kelas,” jelas Dailami sambil menyifatkan guru sentiasa memenuhi harapan, mencipta masa depan.

Tambah beliau, Anugerah Perdana Belia Negara 2019 adalah satu pengiktirafan kepada individu yang telah memberi komitmen yang berterusan dan impak yang cemerlang terhadap program pembangunan remaja serta mempunyai personaliti yang berketrampilan dan ciri-ciri kepimpinan yang mampan.

Anugerah lain yang diterima Dailami adalah Rakyat Malaysia pertama diiktiraf sebagai *Chartered Manager* oleh Chartered Management Institute, United Kingdom 2018 dan 1Malaysia Entrepreneur Program (1MET) Top Performer, Kementerian Kewangan Malaysia 2017.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.