Maryam Balqis Cemerlang Dengan Keputusan CGPA 4.00 Di Arizona State University, Amerika Syarikat.

Maryam Balqis (kiri) bersama rakannya meraikan hari graduasi.

Kuala Lumpur, 23 Mei 2019 – Maryam Balqis Abdul Rashid merupakan pelajar Malaysia yang telah memperolehi keputusan cemerlang dengan CGPA 4.00 di University State University (ASU). Beliau menamatkan pengajiannya dalam bidang “Sustainability” dan kursus ini merupakan kursus pertama yang diadakan di ASU.

Maryam Balqis merupakan salah seorang pelajar penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) sepanjang tempoh pengajiannya.

Menerusi sumber maklumat daripada pihak Pejabat MARA Washington, Maryam Balqis adalah bekas pelajar SMK (P) Sri Aman. Sebaik sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mula mengorak langkah kejayaan dengan melanjutkan pengajian asasi dalam American Degree Foundation Program selama setahun di INTEC.

Menurut MARA Washington, “Maryam begitu aktif di dalam kegiatan kokurikulum malah telah memenangi beberapa anugerah atas pencapaian yang beliau capai di ASU”

Tambah kenyataan itu lagi, “beliau memegang jawatan School of Sustainability Ambassador, Presiden Honor Society of Sustainability, Setiausaha untuk Malaysia Students Association dan Director of Service untuk Alpha Kappa Psi.  Melalui lantikan jawatan beliau di Alpha Kappa Psi, beliau telah berjaya mengumpul dana sebanyak USD 5600 untuk Arizona Association for Foster & Adoptive Parents.”

Hasil daripada usaha ini, Alpha Kappa Psi telah dianugerahkan Presidential Volunteer Service Award kerana telah menjalankan seribu jam aktiviti sukarelawan.

Selain itu, Mariam banyak menjalankan kajian melestarikan alam seperti kajian kelestarian global dalam aspek pelancongan dan perikanan di Lombok, Indonesia. Antara kajian beliau yang lain ialah mengkaji kaedah pihak Los Angeles dalam menangani isu perubahan iklim serta membuat garis panduan atau “toolkit” untuk kerajaan Mexico menangani isu transformasi, adaptasi, kemantapan dan kelestarian.

Antara anugerah yang diperolehi oleh Maryam adalah Community Assistant of the Year, Outstanding Graduate Award Spring 2019 oleh School of Sustainability dan ASU’s Alumni Association, Anugerah Kecemerlangan Akademik sempena Perdana Scholar Awards 2018, dan “Frasier Global Mentorship program” yang akan berlangsung di Washington, D.C. pada bulan Mei 2019.

Pihak MARA Washington turut menyatakan perkembangan terkini Maryam Balqis yang bakal melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana dalam kursus “Sustainability Solutions” pada bulan Ogos 2019.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.