Terima Kasih YB Rina

Alor Gajah, 18 Mei 2019 – Terpancar kegembiraan di wajah para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah setelah menerima kunjungan kasih daripada YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang sudi sahur bersama-sama 795 orang pelajar MRSM itu.

Majlis Singgah Sahur @ MRSM AG Bersama YB Menteri KPLB adalah yang julung kali diadakan oleh KPLB dan MARA diserikan dengan acara qiamullail, tazkirah ringkas dan penyampaian sumbangan duit raya kepada semua pelajar.

Menurut seorang pelajar MRSM Alor Gajah, Aliff Mikail Ahmad Rafiq, beliau berasa sangat teruja dan seronok kerana dapat bertemu mata dengan YB Menteri itu sendiri dan sumbangan duit raya itu sangat dihargai.

“Ini merupakan kenangan Ramadan saya yang sukar dilupakan memandangkan 2019 adalah tahun terakhir saya di sini, dan saya ingin menzahirkan perasaan terima kasih kepada YB kerana sudi merasai pengalaman bersahur kami,” kata Aliff.

Rina berkata, majlis ini dijalankan bagi menerapkan sifat prihatin dan kasih sayang dalam kalangan warga KPLB dan MARA serta menyuburkan rasa tanggungjawab membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Inilah kali pertama saya dapat merasa nikmat bersahur bersama anak-anak semua yang pasti akan meneruskan legasi MARA sebagai generasi pembangun negara dan bangsa,” ujar Rina.

Menjadi salah satu tanggungjawab korporat KPLB dan MARA untuk  turut merai serta melaksanakan kerja amal dan sosial yang juga sebahagian daripada ibadat yang akan mendapat ganjaran.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.