U.n.i Klinik Sky Awani Sentul Anjur Pemeriksaan Kesihatan Percuma

Kuala Lumpur, 10 Mei 2019- Seramai 200 warga Masjid Saidina Hamzah pelbagai peringkat umur menjalani pemeriksaan kesihatan percuma anjuran U.n.i Klinik Sky Awani Sentul.

Dr. Siti Hasmah Mohd Husin berkata, penganjuran aktiviti itu bertujuan meningkatkan kesedaran mereka terhadap penjagaan kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup selain menjadi program tanggungjawab sosial U.n.i Klinik Sky Awani Sentul di bulan Ramadan.

Menurut beliau, sepanjang program itu warga masjid menjalani pemeriksaan fizikal, tekanan darah, BMI (body mass index) dan pemeriksaan gula dalam darah.

“Pelaksanaan aktiviti ini adalah satu inisiatif kami bagi memastikan mereka mempunyai akses kesihatan yang terbaik dan menerusi penganjurannya diharap dapat meringankan beban kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

“Selain memeriksa kesihatan, kita dapat memperkenalkan U.n.i Klinik Sky Awani Sentul yang merupakan program PROSPEC di bawah MARA” katanya.

Tambah beliau, aktiviti ini juga bertujuan memperkenalkan program Peka B40 kepada penduduk setempat kerana masih ramai lagi penduduk yang kurang maklum akan program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia ini.

Selain pemeriksaan kesihatan, perkongsian tips kesihatan turut dikongsi ketika pemeriksaan kesihatan bertujuan menyalurkan maklumat kesihatan yang lebih tepat kepada penduduk setempat.

“Kami lega dengan program pertama ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan apabila sejak 11.30 pagi lagi mereka menunggu di sekitar kawasan pemeriksaan,” katanya.

Beliau juga bercadang ingin mengadakan aktiviti seperti ini secara berkala bagi meringankan beban penduduk setempat.

“Kami masih lagi dalam proses perbincangan, memandangkan jadual kerja yang padat. Kami bercadang ingin meneruskan program seperti ini, mungkin selepas ini di kawasan yang lain pula,” katanya lagi.

U.n.i Klinik Sky Awani Sentul telah beroperasi sejak bulan Januari 2019 di G-20, Residensi Awani, No.27, Jalan Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Sebarang pertanyaan perkhidmatan kesihatan, boleh hubungi 03-40316902 / 018-571 3066 atau dapatkan info di http://www.facebook.com/pg/uniklinikskyawanisentul.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.