UniKL Gondol 11 Emas Di ITEX 2019

Kuala Lumpur, 13 Mei 2019 – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah mencatatkan kemenangan besar dalam Invention, Innovation and Technology Exhibition 2019 (ITEX 2019) yang telah berlangsung pada 2 hingga 4 Mei 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

16 projek telah dipilih untuk mewakili UniKL dari pelbagai kampus dan kategori. Daripada jumlah tersebut, UniKL telah menggondol 11 pingat emas, 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Dengan pencapaian besar ini, UniKL menduduki tangga kedua dari segi pungutan pingat emas.

Ini merupakan pencapaian terbaik UniKL sepanjang penyertaan di dalam ITEX apabila 68.75% daripada 16 projek yang dipertandingkan meraih pingat emas. UniKL turut mengulangi kejayaan yang diperolehi pada tahun 2017 dan tahun 2018 dengan merekodkan pencapaian 100% kemenangan apabila kesemua 16 buah projek yang menyertai pameran ini berjaya membawa pulang pingat.

Pensyarah Kanan merangkap Ketua Seksyen Pendidikan Pasca Ijazah, Dr. Norhisyam Seyajah dari UniKL Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI) mencatatkan kemenangan berganda dengan memenangi dua pingat emas bagi 2 projek beliau iaitu projek Stool (Solat Buddy) dan Ergonomic Mobile Seat Design for Pregnant Women.

“Saya menjunjung Kasih kepada Paduka Baginda atas nasihat dan bimbingan dalam membantu penghasilan projek ini”

“Presiden UniKl juga tidak jemu-jemu memberikan idea dan pandangan bahawa hasil penciptaan ini dapat memberi manfaat kepada individu yang memerlukan,” ujar Norhisham.

Bagi projek Stool (Solat Buddy), ianya turut mendapat sentuhan nasihat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Tuanku Canselor UniKL dan Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, UniKL.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.