
S Karthikgesan meraikan kejayaan apabila menerima anugerah emas dalam Pameran dan Pertandingan Inovasi, Kreativiti serta Teknologi Kali 30 (ITEX’19) peringkat antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
BEHRANG: Pelajar Tingkatan Satu yang merangkul Anugerah Emas dalam Pameran Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta serta Teknologi Kali Ke-30 (ITEX’19) di ibu negara, kelmarin, berhasrat mewakili negara ke Nuremberg, Jerman pada Oktober nanti.
S Karthikgesan, 13, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor, dekat sini dan berasal dari Bandar Behrang 2020, di sini, berjaya mencipta pasu organik atau dikenali sebagai Enviro-Pot yang berjaya menambat hati juri dalam kategori Pertandingan Inovasi Pencipta Muda Antarabangsa (WYiE).
Karthikgesan berkata, pertandingan inovasi dan reka cipta di Jerman itu yang dikenali sebagai Pameran Perdagangan Antarabangsa Idea Inovasi Reka Cipta Baharu (iENA) adalah yang kedua terbesar di dunia.
Katanya, untuk ke pertandingan itu beliau bersama ayahnya, Dr S Shantarasekaran, 43, sedang menambahbaik aspek inovasi dan reka cipta Enviro-Pot terutama cara pembuatannya daripada manual kepada penggunaan mesin.
“Setakat ini, saya bersama ayah sudah siapkan model rekaan mesin ringkas untuk membuat pasu bersama kertas kerja bagi dipanjangkan kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) seterusnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tajaan.
“Sebenarnya, kejayaan kelmarin memberi semangat dan idea baru kepada saya untuk terus menambahbaik Enviro-Pot terutama dalam aspek pembuatan dengan menggunakan mesin supaya kelihatan lebih berdaya maju,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Dr Shantarasekaran berkata, beliau akan memberi sokongan dan motivasi kepada anak sulungnya itu untuk ke peringkat yang lebih tinggi supaya menjadi contoh kepada pelajar di negara ini.
Menurutnya, kejayaan anak beliau sebagai bukti bahawa pelajar negara ini sebenarnya mampu menghasil inovasi dan reka cipta yang bertaraf dunia jika diberi galakan dan motivasi ke arah itu.
“Saya berharap pihak kementerian dapat membantu terutama daripada segi tajaan untuk ke pertandingan itu kerana sejak pulang dari Kuala Lumpur semalam, anak saya berkobar-kobar untuk menambahbaik ciptaannya itu.
“Sebagai bapa dan mentor, maka saya akan sentiasa memberi idea dan sokongan kepada anak saya supaya lebih kreatif dan berinovasi terhadap ciptaannya itu jika mahu mengulangi kejayaan itu sekali lagi jika diberi peluang terbang ke Jerman nanti,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/560702/karthikgesan-idam-wakili-negara-ke-jerman