Outstanding Cambridge Learners Award: Empat pelajar MRSM menerima anugerah Top in the World

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Kamaruzaman Jaffar (duduk tengah) bergambar bersama guru dan pelajar-pelajar MRSM yang menerima anugerah Top in the World Award IGCSE.

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Petaling Jaya, 25 April – Empat orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah diraikan dalam majlis Outstanding Cambridge Learner Awards yang dianjurkan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) pada 25 April 2019 di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Keempat-empat orang pelajar MRSM telah menerima anugerah Top in the World Award bagi subjek Mathematics (Without Coursework) dalam peperiksaan Cambridge IGCSE 2018 dan ini merupakan kejayaan yang membanggakan bagi Hasya Maryam Ahmad Yusof (MRSM Kuala Klawang), Luqman Hakim Mohd Zaid (MRSM Kubang Pasu), Puteri Irdina Sofea Jazlan ‘Arif (MRSM Tun Abdul Razak) dan Teh Yu Sheng (MRSM Serting).

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Kamaruzaman Jaffar, anugerah ini mengiktiraf bakat, dedikasi serta komitmen yang diberikan oleh pelajar dan guru MRSM.

“Ini adalah kelebihan pelajar yang mengikuti pengajian di MRSM IGCSE. Mereka didedahkan dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), kurikulum Cambridge Secondary dan Cambridge Learner Attributes yang mampu mencabar mereka untuk belajar melangkaui SPM serta cemerlang mengikut piawaian antarabangsa”

“MRSM mampu melahirkan genius Matematik bertaraf dunia,” kata Kamaruzaman.

Majlis ini meraikan 116 orang pelajar yang menerima anugerah cemerlang Top in Malaysia Award, High Achievement Award, Best Across dan Top in the World Award dalam peperiksaan Cambridge A Level, Cambridge AS Level dan Cambridge IGCSE (November Series) 2018.

Anugerah kecemerlangan ini telah disampaikan oleh Dr Rahimah Adam, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Dasar & Perkembangan, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Dr. Ben Schmidt, Regional Director Southeast Asia & Pacific, CAIE.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.