MARA Liner Lancar Aplikasi Mudah Alih Pembelian Tiket

KUALA LUMPUR, 25 April 2019 – Pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Video Perkhidmatan Bas Ekspress MARA Liner telah diadakan di Anjung Korporat, Tingkat 24, Ibu Pejabat MARA. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Industri Pengangkutan MARA yang bertemakan ‘Memacu Industri Pengangkutan Negara, Memperkasa Bumiputera’.

Seiring tema yang diangkat, MARA mengambil perhatian penuh terhadap evolusi teknologi moden di dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan. Oleh itu, MARA mengambil langkah menggunakan medium aplikasi mudah alih untuk menyampaikan perkhidmatan serta maklumat kepada pelanggan dengan lebih efisien. Menerusi aplikasi tersebut, ianya akan memudahkan para pelanggan untuk mengetahui maklumat jadual perjalanan bas, destinasi, tarikh, pemilihan tempat duduk penumpang, dan juga semakan harga tiket semasa.

Menurut Ketua Pengarah MARA YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, “kita seharusnya menambah baik sistem penyampaian yang sedia ada untuk mencapai tahap standard yang lebih tinggi.”

Selain itu, beliau turut menegaskan kepada kakitangan MARA untuk mengubah cara kerja secara drastik sejajar dengan peredaran zaman I.R 4.0. Dato’ Azhar menekankan istilah ‘reinvention’, ‘reposition’, dan ‘realign’ yang perlu dilaksanakan bagi memampankan lagi kecekapan sistem penyampaian maklumat dan perkhidmatan.

Di samping itu, Dato’ Azhar berkata, “kita juga perlu menjaga imej MARA dengan menjaga integriti yang lebih bersifat peribadi agar kita tidak menyimpang daripada amanah yang diberikan.”
Ujarnya lagi, “ Jika kita tidak mengikut prosedur standard yang kita ada maka kita akan lari daripada amanah.”

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf dengan diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA, Pengarah Bahagian, dan kakitangan MARA.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.