
Peserta program Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) MARA Johor bergambar kenang-kenangan semasa turun padang menyantuni masyarakat di sekitar Tanjung Piai.
Pontian, 16 April – Seramai 32 peserta Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) anjuran MARA Negeri Johor menyantuni masyarakat setempat dengan menyampaikan sumbangan kepada empat orang asnaf di sekitar Tanjung Piai.
Menurut Timbalan Pengarah MARA Negeri Johor, Zulkifli Baba, inisiatif ini merupakan satu elemen yang diterapkan kepada para peserta LPU berkenaan kepentingan perkongsian rezeki dengan menyumbang kembali sebahagian pendapatan kepada golongan yang memerlukan.
“Kita ingin memastikan usahawan yang dilahirkan bukan sahaja mampu mencipta kekayaan untuk diri sendiri malah mempunyai sifat tanggungjawab untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Salah seorang penerima sumbangan, Jasman Jusoh, 46 tahun dari kampung Perpat Timbul di sini menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan MARA menyampaikan sumbangan kepadanya.
Beliau yang juga berstatus Golongan Kurang Upaya (OKU) kini menderita dan hanya terlantar di katil akibat sakit Gout.
“Terima kasih saya ucapkan atas bantuan, termasuk derma kilat yang diterima dari para peserta LPU MARA dan hanya Tuhan yang mampu membalas jasa baik dan keprihatinan ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peserta LPU, R. Izrarul Aqxval (42) dari Mersing menjelaskan program berbentuk CSR ini memberi pengajaran bahawa sesibuk mana mencari rezeki, kita tidak boleh merupakan mereka yang kurang bernasib baik.
“Saya menanamkan tekad untuk berjaya sebagai seorang usahawan sehingga mampu membela saudara Islam saya sebaik mungkin,” jelas beliau.
Seorang lagi peserta, Nurul Najwa Abdul Rahman (23) dari Muar berkata, aktiviti seumpama ini memberi pedoman kepadanya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat apabila berjaya kelak.
“Sebagai seorang usahawan, saya berazam bukan sahaja membantu mereka yang tidak berupaya malah berhasrat untuk membuka sebanyak mungkin peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar perniagaan saya,” kata beliau.
Untuk rekod, 32 orang peserta LPU ini telah memulakan fasa satu dan dua di Tanjung Piai bermula 13 hingga 18 April dan mereka seterusnya akan meneruskan latihan fasa tiga program ini pada 22 hingga 25 April di Johor Bahru.