Warga MARA Amal Pengurusan Kewangan Berhemat

Kuala Lumpur, 11 April 2019 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan hari ini bertempat di Anjung Korporat, Ibu Pejabat MARA yang merupakan kerjasama antara dua agensi kerajaan iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

MARA memandang serius dalam menangani isu keberhutangan di kalangan warga kerjanya. Menyedari hal ini, pelbagai program telah dilaksanakan untuk memupuk kesedaran mengenai kemahiran mengurus kewangan peribadi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah MARA YBhg. Dato’ Roseli Dol, MARA telah menjalin hubungan erat dengan AKPK bermula tahun 2015 dan MoU kali ini merupakan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua agensi bagi mengukuhkan pengurusan kewangan di kalangan pelajar, usahawan dan warga MARA.

“MoU ini sangat bermakna dan signifikan kepada warga MARA untuk meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan bagi mengurangkan kadar keberhutangan serius serta meningkatkan produktiviti organisasi dan kualiti hidup”

“Kita mahu semua warga MARA mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemat,” ulas Roseli.

Dengan termeterainya MoU ini AKPK dapat membantu dan mendidik warga kerja MARA yang menghadapi masalah keberhutangan yang tinggi ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AKPK YBhg. Azaddin Ngah Tasir, Pengurusan MARA dan warga kerja MARA.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.