Pengunjung berpuas hati di Karnival IPMA Johor

Nooriszah Ismail (kanan) bersama suaminya Masnun Katman merupakan antara ibu bapa yang hadir ke Karnival IPMA Johor.

Johor Bahru, 31 Mac – Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang bermula semalam dan berakhir pada hari ini berjaya memainkan peranannya dalam menyediakan maklumat secara terus kepada mereka yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Hasil tinjauan yang dilakukan di Plaza Larkin di sini mendapati ribuan belia, terutamanya pelajar lepasan SPM hadir ke karnival ini dalam mencari peluang terbaik menyambung pelajaran mereka di IPMA.

Antara IPMA yang menyediakan ruang informasi khusus kepada pengunjung di karnival ini adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej MARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM) serta GIATMARA.

Karnival ini turut mendapat perhatian daripada golongan ibu bapa yang turut meninjau peluang pelajaran yang boleh diceburi anak mereka.

Nooriszah Ismail dari Senai memberitahu, dia dan suaminya hadir ke karnival ini bersama anaknya bagi mendapat yang tepat tentang penerokaan lanjutan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Di karnival ini, kami mendapat maklumat yang tepat terutamanya syarat-syarat program persediaan di Kolej MARA yang diminati oleh anak kami yang baru mendapat keputusan SPM,” katanya.

Muhammad Razif Md Rizan (kiri) dan Zarith Zikry Zulkifly antara pelajar yang berkunjung ke Karnival IPMA di Plaza Larkin

Menurut pelajar lepasan SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat, Muhammad Razif Md Rizan, 18, beliau mempunyai minat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perkapalan.

“Walau bagaimanapun, saya tidak menolak untuk mendalami jurusan lain yang menarik terutamanya yang terdapat di karnival ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelajar SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Saujana, Zarith Zikry Zulkifly, 17, beliau bersyukur dapat hadir ke karnival ini menerusi info yang diberikan oleh rakannya.

“Saya amat tertarik dengan karnival ini kerana mendapat banyak maklumat secara terus dan jelas mengenai bidang-bidang yang ditawarkan di IPMA,” ujarnya.

Karnival ini menjelajah ke setiap negeri seluruh Malaysia dan akan berakhir pada 21 April 2019.

Untuk maklumat lanjut, sila layari portal MARA di http://www.mara.gov.my atau Facebook Karnival IPMA.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.