2 lagi MRSM Ulul Albab akan diwujudkan

MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun (tengah) beramah mesra bersama pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab akan diwujudkan dalam masa terdekat, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, penambahan dua MRSM itu bertujuan menampung permintaan tinggi terhadap aliran pendidikan berkenaan.

Katanya, hingga kini, sudah ada lima MRSM kategori itu, iaitu di Kota Putera, Besut, Terengganu; Gemencheh, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Pulau Pinang; Sungai Besar, Selangor; dan Semporna, Sabah.

DATUK Seri Rina Harun beramah mesra bersama pelajar MRSM Kepala Batas ketika Program ETS Perjalananku Bersama Al-Quran di KL Sentral. – Foto BERNAMA

Rina berkata demikian kepada pemberita pada Program MRSM Kepala Batas Ulul Albab dan ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik): Perjalananku Bersama Al-Quran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perkhidmatan KTMB Intercity dan ETS, Salmi Abdullah, dan Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan MARA (Muafakat) cawangan MRSM Kepala Batas, Prof Dr Abdul Latif Ahmad.

Program kali kedua diadakan selepas Mac tahun lalu itu adalah untuk memanfaatkan empat jam masa pelajar di dalam ETS dari Kuala Lumpur ke Kepala Batas, Pulau Pinang, dengan aktiviti hafazan.

Program membabitkan 90 pelajar itu menyasarkan peningkatan hafazan mereka, di samping membudayakan amalan membaca al-Quran di mana sahaja.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/03/547288/2-lagi-mrsm-ulul-albab-akan-diwujudkan

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.