Kuat Semangat Amirul

Putrajaya, 26 Mac 2019 – Kekurangan diri bukan penghalang buat Amirul Aswad Jaafar, graduan istimewa yang mengalami masalah fizikal pada kaki untuk menghabiskan pengajian sijil Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Lukisan Rekabentuk) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru, Johor.

Beliau yang berasal dari Pontian, berjaya menamatkan pengajian walaupun pada mulanya mengalami kesukaran pembelajaran disebabkan bidang pengajian yang kurang diminati. Namun atas dorongan ibunya, beliau teruskan sehingga berjaya menghabiskan pengajiannya dan bekerja.

“Alhamdulillah, mulanya saya hadapi kesukaran untuk belajar atas sebab minat saya yang lebih kepada bidang pembuatan. Atas dorongan ibulah yang mahu saya teruskan belajar dalam bidang ini sehingga tamat pengajian,” katanya selepas ditemui di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2019.

Tambah Amirul, banyak pengalaman yang beliau dapat semasa pratikal di sebuah kilang  menggunakan kemahiran belajar di IKM. Beliau tidak sangka diberi peluang untuk terus bekerja selepas praktikal.

“Saya hubungi kilang tersebut untuk memohon praktikal dan terus ditemuduga. Saya amat terkejut apabila mereka menerima saya bukan disebabkan keadaan fizikal saya tapi kerana kemahiran lukisan rekabentuk dan minat saya dalam menggunakan sesuatu mesin,” kata Amirul yang kini sudah bekerja sebagai CNC Operator di Masmo Precision Engineering, Pontian, Johor.

Bagi Amirul, pelajar-pelajar lepasan SPM seharusnya memilih bidang pengajian yang diminati, menggunakan peluang dan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.

“Kepada pelajar lepasan SPM, pilihlah bidang pengajian yang anda minat dan belajarlah bersungguh-sungguh. Gunakan peluang sebaiknya,” tambah Amirul.

Amirul berkata, walaupun berdepan kekurangan, beliau tetap merancang untuk mencari pengalaman dalam bidang diminatinya dan menyambung pengajian pada masa akan datang.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.