Nurul Hasrina dapat kaki baru

KESUKARAN pelajar tingkatan lima yang cacat tanpa kaki kanan dan memerlukan bantuan kaki palsu baharu mendapat perhatian Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kuantan (KKTMKu), hari ini.

Pelajar terbabit, Nurul Hasrina Adnan, 18, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar hadir ke kampus KKTMKu bagi proses mengukur dan mendengar taklimat berkaitan proses pembuatan kaki palsu berkenaan.

Pemangku Pengarah KKTMKu Mohd Hazlen Ramli berkata, pihaknya melalui program tanggungjawab sosial korporat menawarkan bantuan kaki palsu khas kepada pelajar itu bagi memastikan dia lebih selesa apabila berada di sekolah.

“Kehadiran Nurul Hasrina ke KKTMKu hari ini bertujuan untuk menerangkan mengenai pembuatan kali palsu yang diharap memberi keselesaan kepadanya nanti.

“Kita turut membuat ukuran dan pembuatan kaki palsu ini akan dilakukan menggunakan teknologi dan mesin yang ada di sini.

“Secara keseluruhannya, kita jangkakan kos untuk menyiapkan kaki palsu berkenaan bernilai RM10,000,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan dan Hal Ehwal Pelajar) KKTMKu Roziah Osman dan Guru Penolong Kanan SMK Paya Besar Che Zaini Yusof.

Pada 20 September 2016, kaki kanan Nurul Hasrina terpaksa dipotong akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Seri Mahkota, Kuantan.

Dalam kejadian itu, Nurul Hasrina yang membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori dan kaki kanannya hancur akibat digilis lori berkenaan.

Pihak hospital menasihatkan bahagian kaki pelajar itu dipotong bagi menyelamatkan nyawanya dan mengelakkan jangkitan kuman.

Sementara itu, Nurul Hasrina menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada KKTMKu yang prihatin dengan nasib menimpanya.

Katanya, kaki palsu berkenaan sangat penting untuk memastikan keselesaannya sepanjang berada di sekolah dan untuk aktiviti lain yang bersesuaian dengan keadaannya ketika ini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/03/432810/nurul-hasrina-dapat-kaki-baru

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.