Tuah fasih berbahasa Jepun

Oleh: Natrah On
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 7 Mac 2019 – Siapa sangka tuah fasih berbahasa Jepun memberi kemenangan buat Nurshazween Azfar Zulkefli, Fatin Nurhamizan Abdullah dan Zati Hanani Mohd Razid apabila projek tahun akhir mereka, ‘Smart Mirror’ memenangi tempat pertama dalam pertandingan MJHEP Intelligent Research and Advanced Innovation (MIRAI) 2019.

Menurut Fatin, dia mula belajar dalam Bahasa Jepun sejak dua tahun lalu dengan menonton rancangan Jepun seperti Anime dan drama kerana kebanyakan anime menggunakan perkataan dan ayat ringkas serta mudah difahami. Minat yang sama dikongsikan bersama dua lagi rakannya yang lain.

“Kami minat mendengar lagu dan menghayati melodi serta lirik dalam Bahasa Jepun,” kata Fatin.

“Usaha kami bermula daripada hobi bertutur di dalam kelas dengan pensyarah dan rakan sekelas mendatangkan kejayaan kepada kami dalam Program MIRAI 2019,”kata Nurshazween.

Program MIRAI merupakan program khas yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar tahun akhir Malaysia Japan Higher Education Program (MJHEP), tajaan Yayasan Pelajaran MARA untuk mempamerkan hasil kreativiti projek untuk dinilai dan mendapatkan maklumbalas daripada orang awam.

Melalui program ini, seramai 137 orang pelajar MJHEP akan melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti di Jepun selama dua tahun.

Hadir sama memeriahkan program MIRAI 2019, Ahli Majlis MARA, YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.