Cantik, bijak perlu seimbang

NUR ATHIYAH HAZIRAH

MEMILIKI wajah cantik, tubuh langsing, tidak kekok di hadapan kamera dan bijak bergaya sudah tentu menjadi kelebihan untuk seorang wanita mendapat perhatian atas pentas peragaan.

Namun, kriteria tersebut masih belum cukup bagi mencapai tanda aras sebagai seorang peragawati untuk menempuh cabaran dalam dunia peragaan yang penuh onak dan duri.

Justeru Nur ‘Athiyah Hazirah Mohd. Jamil Puad, 24, memilih untuk menambah ilmu agar dapat membentuk peribadi yang baik serta disenangi ramai.

“Sebagai anak perempuan tunggal daripada tiga beradik sudah pasti kedua ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi terhadap saya. Saya tetapkan diri untuk mendengar nasihat mereka agar menjadi seorang wanita yang bukan sahaja memiliki penampilan luaran yang baik tetapi bijak dalam menguruskan hidup seperti kata orang ‘beauty with brain’.

“Seseorang itu berkemungkinan mudah hanyut dalam industri ini jika gagal meletakkan ilmu sebagai perisai melangkaui kehendak mereka,” katanya.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah lepasan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School itu mula terlibat dalam dunia peragaan sejak dari bangku sekolah dengan menjadi model untuk beberapa majalah terbitan syarikat swasta.

Minat yang mendalam dalam bidang peragaan diteruskan sehingga kini dengan mendapat sokongan kedua ibu bapa dan adik-beradik walaupun berhadapan cabaran dalam kariernya sebagai model sambilan.

“Berada dalam bidang peragaan mungkin nampak mudah pada mata sebilangan masyarakat, tetapi ternyata sebenarnya amat sukar dan memerlukan hati yang kuat untuk terus kukuh dalam industri ini.

“Bagi saya cabaran terbesar adalah untuk memuaskan dan menjaga hati orang sekeliling kerana ada kala kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak dan sudah pasti terdapat orang yang tidak menyukai kita.

“Selain itu kena bijak membahagikan masa antara karier, belajar dan keluarga. “Saya pernah menangis kerana tiada ada masa untuk diri sendiri ekoran terpaksa mengorbankan masa untuk memberi fokus kepada karier. Namun, saya percaya usaha ini akan membuahkan hasil satu hari nanti,” ujarnya.

Tambah Nur ‘Athiyah Hazirah atau lebih dikenali sebagai Thiya Zira, seorang peragawati bukan hanya berbekalkan wajah cantik tetapi perlu sentiasa tampil menarik di khalayak, justeru dia sentiasa memastikan tampak kemas dan sedap mata memandang walau di mana sahaja.

Amal pemakanan sihat

Mengakui perlu konsisten dalam mengamalkan diet seimbang untuk kekal langsing, Nur ‘Athiyah Hazirah berkongsi rahsia untuk kekal cantik dan sihat dengan mengamalkan pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan dalam menu harian.

Dia turut menasihati masyarakat agar mengurangkan pengambilan makanan berminyak dan makanan segera.

“Saya juga mengamalkan pengambilan oat bagi menggantikan nasi yang jika dimakan secara tidak terkawal boleh menaikkan berat badan. Pun begitu, saya berpendapat tidak salah untuk memakan nasi dalam kuantiti yang sedikit selagi lauk sampingannya seimbang.

“Diet tidak menyeksakan jika kita menetapkan pendirian demi menjaga kesihatan diri,” katanya lagi.

Selain itu, dia turut menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan suplemen untuk menjaga kulit.

“Sebelum mengambil sebarang suplemen, seseorang perlu mengenali terlebih dahulu mengenai sistem badan dan kulit. Jangan mudah terpedaya dengan produk yang dijual di pasaran kerana akan memberi kesan kepada kesihatan.

“Saya juga aktif bersukan untuk kekal sihat dan langsing. Sejak dari sekolah saya aktif bersukan dan kini kerap berjoging serta bersenam manakala untuk kecantikan kulit saya dapatkan konsultasi daripada pakar kecantikan,” jelasnya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/mega/cantik-bijak-perlu-seimbang-1.851537

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.