20 Peserta HIT Barber Musim Kedua Mengorak Langkah

Peserta program Hit Barber musim kedua bergambar kenangan bersama YB Menteri KPLB.

KUALA LUMPUR, 27 Februari: Sempena Program Bual Bicara Usahawan Bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), seramai 20 orang peserta HIT Barber musim kedua telah menerima watikah sebagai peserta yang telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri KPLB di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Bangi.

Program ini melibatkan 100 orang usahawan terdiri dari bekas pelatih, usahawan Institusi Pendidikan MARA (IPMa), usahawan belia dan usahawan yang menjalankan perniagaan di sekitar Daerah Hulu Langat.

Menurut Rina, “MARA sentiasa komited dalam memajukan serta menggalak anak bangsa untuk terus memajukan diri, seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan setempat dan kemakmuran ekonomi negara.”

Selain memberi peluang dalam meningkatkan potensi dan keupayaan usahawan ke tahap yang lebih baik, mereka juga diberi pendedahan dengan ilmu keusahawanan dan perkongsian motivasi daripada penceramah jemputan.

Menurut Wafie, 34, seorang peserta musim pertama yang telah berjaya membuka sebuah outlet HIT Barber pertama berkata “program seperti ini sangat baik kerana ia dapat memberi pendedahan dan perkongsian ilmu keusahawanan yang sangat berguna kepada bakal usahawan dan usahawan sedia”.

Katanya lagi “saya berjaya kerana MARA, dan jika melihat peluang industri dandanan rambut di Malaysia sepertimana yang saya ceburi, ianya mempunyai potensi yang sangat besar dan peluang ini seharusnya direbut oleh usahawan golongan belia dalam membantu mencipta jenama dengan hanya menggunakan kemahiran menggunting rambut.” Tambah beliau lagi, “industri ini tidak akan terjejas meskipun berdepan situasi persekitaran ekonomi yang tidak menentu”.

Turut hadir YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA dan Pakar Dandan Rambut Negara, Encik Khal Khalil Jaksa.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.