Azrina Ibrahim ikon usahawan berjaya MARA

Azrina Ibrahim (lima dari kiri) bersama staf.

KANGAR 25 Feb. – Bekas pelajar GIATMARA Kangar, Azrina Ibrahim kini bergelar ikon usahawan berjaya Perlis apabila perniagaannya, Wahyuni Beauty and Muslimah Spa menjadi tarikan pelanggan dari seluruh negeri.

Pemegang Diploma Pengajian Keusahawanan dari Kolej Binary, Puchong pada tahun 2000 itu berkata, beliau mula bekerja sebagai kerani akaun selama tiga tahun di sebuah syarikat perkapalan di Kuala Lumpur namun berhenti untuk membantu menguruskan restoran keluarganya di Kuala Kangsar, Perak pada 2004.

Selepas berkahwin dengan Azhar Ahmad, 54, pada 2009, Azrina, 39, terus menetap di Perlis.

“Oleh kerana bosan menjadi suri rumah sepenuh masa sejak berkahwin, saya menyambung belajar di GIATMARA Kangar selama enam bulan dan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam jurusan solekan dan terapi kecantikan tahap tiga dan jurusan terapi spa tahap tiga pada 2013.

Katanya, selepas setahun menjalankan perniagaan berkonsep Spa Bergerak dengan memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah, beliau membuka cawangan pertama di Arau pada 2014.

“Dalam masa sama saya berusaha menambah ilmu dan pengetahuan dengan menyertai kursus-kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga dapat membuka cawangan kedua di Arked Kayang, Kangar pada 2015,” kata usahawan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun ke cawangan spanya di Kangar hari ini.

Ibu kepada seorang bayi perempuan berumur tiga bulan itu berkata, beliau berniat mahu membantu kaum wanita Muslimah mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan kecantikan dan baharu sahaja membuka cawangan ketiga di Samila Business Centre di Alor Setar.

Katanya, perkhidmatan yang disediakan adalah menyeluruh seperti kecantikan, salun rambut, pakej untuk ibu-ibu bersalin dan rawatan astetik.

“Saya amat berterima kasih kepada MARA kerana membiayai Program Usahawan Teknikal (Putek) sebanyak RM22,000, Pembiayaan Am (SEMAi) berjumlah RM37,000, Geran BASE coaching dan Post-System,” kata Azrina.

Menurutnya, cawangan Arau dijadikan pusat latihan terapi spa yang boleh menempatkan lima pelatih dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia pada 2016 untuk melatih individu-individu yang tercicir daripada sekolah.

Katanya, pelatih dibayar elaun oleh Kementerian Sumber Manusia sebanyak RM300 sebulan untuk mengikuti latihan selama 16 bulan sehingga mendapat SKM terapi spa untuk layak diserap sebagai ahli terapi terlatih. – BERNAMA

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/azrina-ibrahim-ikon-usahawan-berjaya-mara-1.848767

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.