Ansara perlu suarakan pandangan positif kepada kerajaan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir. Amiruddin Hamzah bergambar bersama para peserta pada Majlis Penutup Karnival Sukan Ahli Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini. – Bernama

BANGI – Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) (Ansara) Malaysia perlu menjadi antara penyumbang pandangan yang membina kepada kerajaan dalam menambah baik pelbagai dasar negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Amiruddin, yang juga bekas pelajar MRSM Seremban berkata, pandangan wakil Ansara dalam sesi sumbang saran boleh diambil kira kerana persatuan berkenaan mempunyai 230,000 anggota terdiri daripada profesional dalam pelbagai industri dan sektor.

Jumlah anggota Ansara meningkat sebanyak 6,000 hingga 7,000 orang setahun.

“Kerajaan yang ada sekarang ialah kerajaan yang mendengar pandangan semua pihak. Suara intelektual dan profesional daripada Ansara dapat membantu kerajaan untuk melaksanakan dasar yang memberikan impak lebih posif kepada masyarakat,” katanya selepas menutup Karnival Sukan Ansara Malaysia kali ke-19 di Universi Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Amiruddin, pandangan dan idea yang diberikan kepada kerajaan merupakan antara cara terbaik untuk anggota Ansara menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Seramai 8,600 atlet menyertai karnival berkenaan yang melibatkan 23 jenis sukan dan berlangsung selama empat hujung minggu.

Ini merupakan jumlah penyertaan atlet ternggi dalam acara dwitahunan berkenaan. Pada karnival kali ini Ansara MRSM Kuala Terengganu muncul juara keseluruhan dalam acara yang disertai bekas pelajar dari 54 MRSM seluruh negara. -Bernama

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.