CSR UniKL RCMP Didik Mahasiswa Prihatin

Taiping – Program khidmat masyarakat (CSR) UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) di Zoo Taiping pada 16 Februari 2019 yang lalu mendidik mahasiswa supaya lebih prihatin tentang masyarakat sekeliling serta berkongsi ilmu kepakaran mereka.

Menurut pensyarah UniKL RCMP dan juga penasihat program CSR, Siti Noraihan Syeikh Ahmad, selain mendidik mahasiswa prihatin, program ini juga menggalakkan mereka supaya lebih aktif dalam kerja-kerja amal.

Seramai 78 orang pelajar UniKL RCMP menjayakan program khidmat masyarakat bertemakan ‘Sayang Home Project’ dengan kehadiran anak-anak yatim serta asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Ar-Ridwani, Ipoh, Perak. Program ini telah dianjurkan oleh Kelab Ibnu Sina dengan kerjasama Syarikat Al-Ikhsan dan Jawatankuasa Tabung Zakat RCMP.

Tambah pengarah program CSR, Nooraida Ismail, program ini diharapkan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pihak pengurusan rumah anak-anak yatim serta pada masa yang sama dapat menceriakan kanak-kanak di sini. Program ini juga dapat mengajar bagaimana menguruskan program amal serta pembahagian masa belajar dan kokurikulum.

“Diharap program ini dapat meringankan beban pengurusan rumah anak-anak yatim disini. Selain itu, program ini telah banyak mengajar saya untuk lebih teliti dalam pengurusan program amal, memaksimakan kemampuan diri dan kini lebih bijak membahagikan masa untuk akademik dan kokurikulum,” kata Nooraida yang juga merupakan pelajar perubatan UniKL RCMP tahun 3.

Lawatan ke Zoo Taiping merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan selain demonstrasi bantuan pernafasan (CPR), penggunaan alat stetoskop, ujian penglihatan, pengambilan tekanan darah dan perkongsian mengenai kebersihan diri serta ceramah mengenai keindahan akhlak Nabi Muhammad SAW.

Sebanyak RM20,000.00 telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai, tajaan dan jualan amal yang dijalankan oleh ahli jawatankuasa program sejak bulan Mac 2018. Pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk, dapur, penghawa dingin, kipas siling, ampaian pakaian serta sterika didermakan untuk kegunaan penghuni rumah disamping wang tunai berjumlah RM8000.00.

Sumber : RCMP

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.