Tawar perkhidmatan gunting rambut secara bergerak

Pelanggan menggunakan perkhidmatan menggunting rambut di sebuah bas bergerak yang dipanggil Barberbus. – NSTP/Asrol Awang

KUANTAN: Seorang pemilik kedai gunting rambut Sinatra My, mencipta kelainan dengan menjadikan sebuah bas sebagai kedai gunting rambut bergerak yang dipanggil ‘Barberbus’.

Pemiliknya, Mohd Nordin Mohd Yusof, 32, mengeluarkan kos sebanyak RM100,000 bagi mendapatkan sebuah bas terpakai serta kelengkapan mengunting rambut.

Katanya, idea untuk memberi perkhidmatan gunting rambut bergerak tercetus apabila melihat respon pelanggan yang datang ke kedainya di premis berhampiran bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini.

Selepas sebulan beroperasi, Barberbus mendapat sambutan hangat daripada pelanggan terutama golongan belia yang berminat dengan gaya potongan mengikut trend masa kini.

“Barberbus ini dilengkapi peralatan dan perabot yang berkualiti tinggi termasuk kemudahan penghawa dingin. Pada masa sama, tukang gunting turut mendapat latihan khas dari segi teknik pemotongan, penggayaan dan interaksi bersama pelanggan.

Barberbus mendapat sambutan hangat daripada pelanggan terutama golongan belia yang berminat dengan gaya potongan mengikut trend masa kini. – NSTP/Asrol Awang

“Bas ini boleh memberikan perkhidmatan di seluruh kawasan seperti taman perumahan, pejabat, institusi pengajian, hotel, sekolah dan sebagainya bukan saja di Kuantan, malah seluruh negara jika mendapat permintaan,” katanya.

Mohd Nordin yang mendapat bantuan dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), berkata Barberbus akan menawarkan perkhidmatan di sekitar bandar dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selepas jam 6 petang kami akan bergerak ke kawasan yang jauh sedikit dari bandar seperti di Indera Mahkota atau Semambu.

“Barberbus mampu mengunting rambut tiga pelanggan secara serentak, setakat ini kami mempunyai kira-kira 12 tukang gunting termasuk yang berada di premis sedia ada,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/02/532280/tawar-perkhidmatan-gunting-rambut-secara-bergerak

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.