KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan untuk terus membantu usahawan tempatan, sejajar dengan matlamat asal penubuhannya, iaitu membantu meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah Bumiputera.
Pengerusinya, Dr Hasnita Hashim, berkata usahawan yang sudah mendapat pembiayaan MARA akan terus dibantu untuk mengukuhkan perniagaan mereka.
“Untuk 2019, fokus kita menyokong usahawan sedia ada dalam menghadapi suasana ekonomi yang semakin mencabar.
“Kita tidak mahu menjadi agensi yang memberi pinjaman sahaja dan membiarkan usahawan tanpa sokongan atau pemantauan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BH, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usahawan yang sudah berjaya pula akan terus dibantu, termasuk mencarikan peluang perniagaan ke luar negara.
“Usahawan baharu juga akan diberi bantuan tetapi pemilihan untuk kumpulan ini lebih ketat dan bergantung kepada kriteria tertentu, selain melihat kepada komitmen dan fokus serta sektor yang mereka ceburi,” katanya.
Sementara itu, Hasnita berkata, MARA akan turut memberi tumpuan kepada dua agenda utama menerusi inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB), iaitu memantapkan pemilikan ekuiti dalam sektor korporat dan mengukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bagi meningkatkan nilainya.
Beliau berkata, kedua-dua agenda itu memerlukan kerangka kerja dan tadbir urus yang baik.
“Adalah menjadi keutamaan kami memastikan peruntukan yang diberikan kerajaan digunakan sebaik mungkin dengan cara berhemah, mengutamakan integriti dan ketelusan.
“Saya dan Ahli Majlis MARA akan memastikan tidak wujud salah guna dan pembaziran. Semua peruntukan akan digunakan untuk manfaat rakyat. Ini semua adalah keutamaan kami,” katanya.
Setakat 31 Januari 2019, MARA memiliki 17 anak syarikat aktif antaranya GIATMARA Sdn Bhd dan MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd; sebuah perbadanan, sebuah syarikat jaminan terhad dan dua syarikat bersekutu yang terbabit dalam pelbagai industri terpilih.
Syarikat MARA ini diletakkan di bawah seliaan Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Subsidiari (BPPS).
Hasnita berkata, dalam usaha memperkasakan impak pertumbuhan pelaburan, MARA memberi fokus terhadap amalan tadbir urus korporat yang baik merangkumi aspek kewangan, sumber manusia, perolehan, proses dan prosedur serta kawalan pengurusan risiko bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan dalam mencapai objektif pelaburannya.
“Amalan tadbir urus korporat yang baik juga membolehkan operasi syarikat diuruskan dengan sempurna, telus dan bertanggungjawab kerana seperti semua sedia maklum, kewangan MARA sebelum ini tidak diuruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, sebagai usaha untuk mengukuhkan dan mempertingkatkan kawalan dalaman, syarikat di bawah MARA menubuhkan dan melaksanakan 10 inisiatif antaranya penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR); penubuhan Unit Audit Dalam; pelaksanaan Polisi Tiada Hadiah dan ikrar bebas rasuah.
“MARA juga turut menekankan amalan dan pengurusan kualiti dengan memastikan syarikat MARA sentiasa menambah baik prosedur dalaman melalui pelaksanaan dan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan MARA Ecosystem Quality Standard (MQS) merangkumi Pengurusan Sumber Manusia; Perolehan; Kewangan; Aset; Keselamatan/Risiko dan Pengurusan Pelanggan,” katanya.