KUALA KUBU BHARU – Mengulang hafazan tiga juzuk sehari pada sebelah pagi dan petang sejak di tingkatan satu lagi.
Ini yang dilakukan Hufaz Terbaik Asean yang merupakan bekas pelajar MRSM Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan, Ahmad Luqman Ahmad Zaini, 20.
Menurutnya, dia mula menghafaz al-Quran ketika belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan di bawah bimbingan guru dikenal sebagai Ustaz Firdaus.
“Bermula dari tingkatan 1 hingga 5 sebelum berjaya hafaz kesemua 30 juzuk serta kali pertama memasuki pertandingan peringkat Negeri Sembilan dinobatkan sebagai johan.
“Tapi saya tidak menang apabila ke peringkat kebangsaan dan setelah tamat di MRSM, saya melanjutkan ke Darul Quran Jakim Kuala Kubu Bharu.
“Di sini saya memperkemaskan lagi hafazan dan bacaan dan esok (hari ini), saya akan menyertai pertandingan sama bagi peringkat Wilayah Persekutuan untuk tahun ini,” katanya.
Ahmad Luqman antara 243 pelajar yang menjayakan Majlis Khatam Al-Quran Pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat 2019 di Darul Quran Jakim itu.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, hafazan memerlukan seseorang itu istiqamah dan memperbaiki kualiti bacaan termasuk tajwid.
“Doakan saya berjaya mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah selepas tamat pengajian nanti,” katanya.
Pelajar Syukbah Qiraat Darul Quran Jakim ini julang nama negara apabila merangkul dua kejuaraan pertandingan hafazan al-Quran peringkat Asean tahun lalu.

Ahmad Luqman (kanan) bersama Muhammad Dzulfaqar Mohd Zaini,19, menunjukkan piala johan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun lalu.

Ahmad Luqman mendapat Johan kategori 1-10 juzuk, The Annual Prince Sultan Bin Abdul Aziz Competition On the Memorization Of Quran And Sunnah for Asean and Pacific Countries di Jakarta, Indonesia pada 22 Mac 2018 yang lalu.
Dia yang kini tahun akhir Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dinobatkan johan The Annual Prince Sultan Bin Abdul Aziz Competition on The Memorization of Quran and Sunnah for ASEAN and Pacific Countries bagi kategori 1 hingga 10 juzuk pada Mac.
Ahmad Luqman menewaskan 70 peserta dari 14 negara yang mengambil bahagian pada pertandingan itu di Jakarta, Indonesia.
Dia mewakili negara selepas menjuarai Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori 1 hingga 10 juzuk dengan johan di peringkat negeri Melaka.
Ahmad Luqman juga pernah mewakili negara dalam acara tilawah serta hafazan di 13th Edition of King Mohammed IV International Award For The Holy Quran Memorization, Recitation and Interpretation di Maghribi, November 2017.
Pada November 2018, sekali lagi muncul johan pada Pertandingan Musabaqah Hifzhil Quran Tingkat ASEAN 2018 bagi kategori 1 hingga 15 juzuk yang berlangsung Jakarta, Indonesia.