MARA Terus Perkasa Program Keusahawanan & Perniagaan Bumiputera

YB Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan replika kunci kepada penyewa premis perniagaan MARA Semenyih.

Oleh Ziela Amin
media@mara.gov.my

Semenyih, 12 Februari – Melihat kepada kejayaan usahawan Bumiputera di pelbagai peringkat, MARA memperkasa program Keusahawanan & Perniagaan Bumiputera melalui Program Transformasi Premis Luar Bandar dengan memberi tumpuan kepada premis perniagaan untuk dinaiktaraf kepada bangunan yang lebih sempurna terutama dari segi infrastrukturnya.

Bazar MARA Semenyih turut mendapat manfaat daripada Program Transformasi Premis Luar Bandar di mana ianya telah dinaiktaraf menjadi bangunan yang lebih terancang dan sempurna.

Lokasi ini menyaksikan lawatan kerja  Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YB Datuk Seri Rina Mohd Harun serta penyampaian Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Bantuan Peralatan Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Cek Pembiayaan Putra dan penyerahan Replika Kunci kepada penyewa Bazar MARA Semenyih.

Menurut Rina, melalui program Transformasi Premis Luar Bandar, MARA memberi fokus kepada 3 pendekatan. Pertama, membina bangunan baru di tanah MARA sedia ada. Kedua, merobohkan bangunan lama dan membina semula bangunan baru di tapak tersebut. Dan pendekatan ketiga adalah melakukan peningkatan imej dengan memberi wajah baru kepada bangunan sedia ada.

“Pada hari ini kita dapat menyaksikan Bazar Semenyih yang lebih sempurna terutama dari segi infrastrukturnya. Bazar ini menawarkan 14 ruang kedai dengan kadar sewa yang sangat minima berbanding kadar sewa pasaran semasa yang jauh lebih mahal,” katanya.

Sebagai salah satu agensi di bawah KPLB, MARA telah menjadi pemangkin dalam pembangunan luar bandar terutamanya kepada kaum Bumiputera. Pembangunan luar bandar ini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi. Perancangannya memberi penekanan kepada pembangunan sumber manusia dan juga pembangunan ekonomi serta menaik taraf kemudahan infrastruktur.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.