Bekas pelajar MRSM Gemencheh dinobat Hufaz Terbaik Asean – Ini rahsianya baiki hafazan dan bacaan

Ahmad Luqman memperdengarkan bacaan al-Quran bersama pelajar lain pada majlis tersebut.

KUALA KUBU BHARU – Pelajar Syukbah Qiraat Darul Quran Jakim julang nama negara apabila merangkul dua kejuaraan pertandingan hafazan al-Quran peringkat Asean tahun lalu.

Pelajar tahun akhir Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Ahmad Luqman Ahmad Zaini, 20, dinobatkan johan The Annual Prince Sultan Bin Abdul Aziz Competition on The Memorization of Quran and Sunnah for ASEAN and Pacific Countries bagi kategori 1 hingga 10 juzuk pada Mac.

Ahmad Luqman menewaskan 70 peserta dari 14 negara yang mengambil bahagian pada pertandingan itu di Jakarta, Indonesia.

Dia mewakili negara selepas menjuarai Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori 1 hingga 10 juzuk dengan johan di peringkat negeri Melaka.

Ahmad Luqman juga pernah mewakili negara dalam acara tilawah serta hafazan di 13th Edition of King Mohammed IV International Award For The Holy Quran Memorization, Recitation and Interpretation di Maghribi, November 2017.

Pada November 2018, sekali lagi muncul johan pada Pertandingan Musabaqah Hifzhil Quran Tingkat ASEAN 2018 bagi kategori 1 hingga 15 juzuk yang berlangsung Jakarta, Indonesia.

Menurutnya, dia mula menghafaz al-Quran ketika belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan di bawah bimbingan guru dikenali sebagai Ustaz Firdaus.

“Bermula dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima sebelum berjaya hafaz kesemua 30 juzuk serta kali pertama memasuki pertandingan peringkat Negeri Sembilan dinobatkan sebagai johan.

“Tapi saya tidak menang apabila ke peringkat kebangsaan dan tamat di MRSM, saya melanjutkan ke Darul Quran Jakim Kuala Kubu Bharu.

Ahmad Luqman antara 243 pelajar yang menjayakan Majlis Khatam Al-Quran Pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat 2019 di Darul Quran Jakim itu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia akan mengulangi hafazan dengan tiga juzuk setiap hari pada sebelah pagi dan malam yang dipraktikkan sejak tingkatan satu.

Menurutnya, hafazan memerlukan seseorang itu istiqamah dan memperbaiki kualiti bacaan termasuk tajwid.

“Doakan saya berjaya mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah selepas tamat pengajian nanti,” katanya.

Sumber : https://www.gpsbestari.com/berita/selangor/bekas-pelajar-mrsm-gemencheh-dinobat-hufaz-terbaik-asean-ini-rahsianya-baiki-hafazan-dan-bacaan-1.922274?fbclid=IwAR30FmocI_MJqLt0V9ZookNaLc6r7aQBMSRdLPQXZ_t-EAEdbGRDYVztd6s

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.