Menjadi seorang guru bukan satu tugas yang mudah kerana perlu mengajar selain berkomunikasi dengan pelajar untuk menjadi insan yang berguna di masa hadapan.
Bagi Mohd Asri Jusoh, 29, dia tidak pernah menyangka memilih kerjaya sebagai seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh menjadi inspirasi kepada pelajarnya.
Pernah mengajar di MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan, MRSM Ulul Albab, Semporna, MRSM Tun Abdul Razak, Pekan dan kini di MRSM Muadzam Shah, Pahang, mengajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Paparan laman Twitter milik Mohd Asri.
Graduan Universiti Wellington, New Zealand ini menambah, dia hanya mengambil inspirasi daripada bekas gurunya ketika belajar di bangku sekolah lagi.
“Pada ketika itu, saya akui tidak pandai Bahasa Inggeris tetapi apa yang menyebabkan saya suka pada matapelajaran itu adalah disebabkan guru tersebut ketika mengajar.
“Cikgu saya pada ketika itu sering berkomunikasi, berbual dengan murid-muridnya walaupun di luar kelas selain dia sering bersembang dengan pelbagai isu dengan kami sekelas menyebab saya mulai suka pada subjek Bahasa Inggeris,” katanya.
Bermula daripada itu, Mohd Asri juga mengambil pendekatan yang dibuat oleh gurunya dengan berkomunikasi untuk 5 hingga 10 minit sebelum bermula kelas dengan pelbagai isu mahupun pekara tular selain ditambah dengan alat bantu mengajar (ABM).
Hasil karangan milik Muhammad Luqman Hakim yang menjadi tular di laman sosial.
Jelasnya, ini kerana, kesemua pelajarnya duduk di dalam asrama dan mereka juga tidak menerima maklumat dunia luar dan ia dapat menambahkan pengetahuan mereka dan merapatkan hubungan diantara dia dan anak muridnya.
Selain itu juga, dia juga sering meminta bantuan daripada dua orang mentornya untuk mendapatkan khidmat nasihat dan cara mengajar bagi menarik minat pelajarnya.
“Saya bertuah apabila mempunyai dua mentor yang hebat dan banyak membantu dalam sesi mengajar malah mereka tidak pernah kedekut ilmu untuk membantu membantu,” katanya.
Bawa dua pelajarnya ke New Zealand
Mohd Asri berkata, dia juga pernah membawa dua bekas pelajarnya ke New Zealand ketika dia bergraduasi di Universiti Wellington selain memberi semangat kepada mereka untuk berjaya di masa hadapan.
Jelasnya, dia tidak niat lain kerana hanya mahu melihat anak-anak muridnya berjaya di peringkat lebih tinggi dan menjadi insan yang berguna di satu masa nanti.
Malah katanya, kedua-dua bekas pelajarnya itu kini melanjutkan pengajian mereka di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan menjadi mahasiswa terbaik di universiti masing-masing.
“Mereka adalah bekas anak didik yang masih saya ‘keep in touch’ sehingga kini malah saya anggap dua bekas pelajar ini sebagai adik selain keluarga mereka juga mengenali saya.
“Adalah menjadi satu kepuasan pada diri saya apabila melihat anak-anak didik saya berjaya di dalam perjalanan mereka masing-masing.
Karangan bekas anak didik menjadi tular
Mohd Asri juga tidak pernah menyangka ciapannya di laman sosial Twitter mengenai karangan bekas anak didik yang kini melanjutkan pelajaran di MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka, menjadi tular di kalangan warganet.
Katanya, baru-baru ini, bekas anak murid itu menghubunginya mengatakan dia menulis sebuah karangan Bahasa Melayu yang juga kerja rumah diberikan oleh gurunya.
Anak muridnya itu yang dikenali sebagai Muhammad Luqman Hakim Zaidi turut mendapat keputusan cemerlang di PT3, mengatakan dia menulis mengenai dirinya yang banyak menberi inspirasi kepada bekas pelajarnya itu.
Mohd Asri (tengah, atas) bersama-sama pelajarnya serta Muhammad Luqman Hakim (kanan, duduk).
Jelasnya, Muhammad Luqman juga menulis mengenai dirinya yang memberi inspirasi bagaimana untuk berkomunikasi mahupun mengajar di dalam kelas serta ketika berdepan dengan pelajarnya.
“Muhammad Luqman Hakim turut menulis cara bagaimana saya mengajar di dalam kelas sehinggakan saya pun tidak teringat pekara itu boleh berlaku.
“Ini adalah kebaikan mengajar anak-anak muda, mereka suci dari debu kekotoran yang tidak sepatutnya. Malah penulisan Muhammad Luqman Hakim mengenai saya itu adalah sangat baik bagi pelajar seusia dengannya,” katanya.