MIF@SOVO medan pamer bakat

Sebahagian peserta dan tetamu sempena Majlis Pembentangan MARA In Fashion  (MIF)@SOVO bergambar kenangan di Butik LOKA Malaysia.

Selepas kejayaan penganjuran kali kedua tahun lalu, MARA In Fashion  anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini kembali membawakan subprogram terbaharu iaitu Pembangunan Strategi Pemasaran Usahawan atau MIF@SOVO kelolaan MARA Wilayah Persekutuan bermula bulan ini.

Program yang memilih 10 pereka muda dari dua siri MARA In Fashion  itu dilaksanakan bagi memberikan pendedahan tambahan dalam konteks pembangunan label dan perniagaan selama enam bulan berakhir Julai nanti.

Menurut, Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, Raja Sarimah Raja Jamaluddin, kesemua pereka yang terlibat akan diberikan tugasan, pendedahan secara amali dan lapangan dalam bidang pemasaran dan pengurusan untuk mengetengahkan jenama mereka dalam pasaran.

“Melalui MARA In Fashion, kita telah memilih pereka yang berpotensi dalam menghasilkan produk fesyen yang berpotensi sebagai trend fesyen malah, mereka telah diberikan bantuan dalam bentuk kewangan, ruang kerja dan peralatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Program MIF@SOVO adalah kelangsungan untuk MARA In Fashion  yang disusun dalam usaha untuk memantapkan elemen perniagaan dalam konteks pemasaran dan pengurusan perniagaan agar para pereka ini dapat menjual produk mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengenalan Program MIF@SOVO di Loka Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Yuhaniz Mohamad Padil.

Azurawaty Amar menyampaikan ucapannya dalam Majlis Pembentangan MARA In Fashion (MIF)@SOVO di Butik LOKA Malaysia, NU Sentral baru-baru ini.

Kerjasama

Tambahnya, menerusi program ini, pihaknya bekerjasama dengan Loka Malaysia yang akan menyusun program serta tugasan sepanjang enam bulan penganjuran program berkenaan.

MARA In Fashion telah ditubuhkan pada tahun 2016 dan berjaya melahirkan seramai 40 usahawan muda khusus dalam bidang fesyen dalam dua siri penganjurannya.

Kesemua 40 usahawan ini dipilih menerusi temuduga khas dan diberikan bantuan untuk memulakan jenama termasuk menyediakan ruang kerja di Sovo, Menara MARA, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Urusan Loka Malaysia, Juliahayyu Mohamad berkata, sepanjang enam bulan penganjuran MIF@SOVO, pihaknya menyusun pelbagai aktiviti yang melibatkan pendedahan 360 darjah dalam dunia perniagaan fesyen.

Menurutnya, 10 pereka ini akan didedahkan dengan aktiviti pengurusan seperti perbincangan produk dan pemasaran, sesi bertemu media serta terlibat dalam aktiviti jualan produk di hub fesyen Loka Malaysia di NU Sentral, Kuala Lumpur.

“Mereka juga akan diberi tugasan untuk menyediakan koleksi Hari Raya Aidilfitri yang akan diperagakan dalam satu pertunjukan fesyen yang dijadualkan akan berlangsung sebelum bulan puasa nanti,” ujarnya.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/varia/mif-sovo-medan-pamer-bakat-1.839181

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.