Pelajar B40 tolak tawaran MRSM isu terpencil – KP MARA

KETUA Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Dakwaan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menolak tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana tidak berkemampuan hanyalah isu terpencil.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata kebanyakan yang menolak tawaran ke MRSM adalah kerana tidak tahu mengenai bantuan dan kelonggaran yang diberikan jika mereka tidak berkemampuan untuk membayar yuran.

Beliau menegaskan, tidak timbul isu pelajar miskin tidak dapat masuk ke MRSM kerana pembayaran yuran pengajian boleh ditangguhkan jika mereka tidak mampu, selain diberi bantuan lain jika mereka menepati syarat tertentu.

“Mereka yang menolak tidak dapat gambaran jelas. Contohnya, di MRSM Johor baru-baru ini, pelajar (miskin) yang mendaftar tidak perlu bayar apa-apa pun, malah kita beri bantuan pada mereka yang layak.

“Jika keluarganya pelajar itu berpendapatan RM1,800 ke bawah, MARA bantu menerusi program BUDI dengan bantuan elaun bulanan RM50, pakaian sekolah dan alat tulis, selain yuran diketepikan.

“Kita juga akan bertemu pelajar B40 yang menolak kemasukan ke MRSM untuk beri penjelasan. Jadi, tidak timbul isu pelajar miskin tak dapat masuk MRSM,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pasukan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Kota Bharu (ANSARAKB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA), Datuk Kamarul Redzuan Muhamed dan Ketua Cawangan ANSARAKB, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amirudin Hamzah, yang juga ahli ANSARA, menggesa MARA menampung sepenuhnya kos pelajar daripada keluarga B40 bagi memastikan mereka tidak menolak tawaran itu akibat kemiskinan.

Pemangku Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT), Datuk Shahrul Nizam Yunos, pula dilaporkan berkata adalah wajar untuk melupuskan yuran pendaftaran MRSM bagi keluarga B40, namun ia perlu dikaji terlebih dulu.

MARA sebelum ini memaklumkan, pelajar B40 diberi kelonggaran untuk membayar yuran pendaftaran MRSM secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, seramai 2,500 pelajar sudah diserapkan ke dalam program BUDI, dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga sesi kemasukan ke MRSM berakhir pada hujung bulan ini.

Terdahulu, beliau melancarkan kontinjen ANSARAKB yang akan menyertai Karnival Sukan ANSARA (KSA) 2019, iaitu kejohanan sukan tahunan oleh alumni MRSM itu.

KSA 2019, yang memasuki tahun ke-19 penganjuran itu, dijangka disertai 7,000 atlet dalam kalangan ahli ANSARA, membabitkan 23 sukan dipertandingkan di sekitar ibu negara, dengan pelancaran pada esok dan majlis penutup pada 24 Februari depan.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/02/528685/pelajar-b40-tolak-tawaran-mrsm-isu-terpencil-kp-mara

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.