Nilai kualiti kerja menteri – Rina

RINA MOHD. HARUN (dua dari kiri) bersama Presiden Ansara, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed (kanan) melihat Piala KSA di Karnival Sukan Ansara Malaysia Ke-19 di Serdang, semalam. MINGGUAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

SERDANG 9 Feb. – Kualiti seseorang menteri atau timbalan men­­teri perlu dinilai berdasarkan hasil kerja di kementerian, bukannya tertumpu kepada isu lain yang sengaja disensa­sikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, dalam era dunia tanpa sempadan, setiap orang bebas menyuarakan pendapat walaupun ada ketikanya ia ti­dak seperti digambarkan, terutamanya dalam media sosial.

“Pada saya, kualiti dan nilai integriti seseorang menteri atau timbalan menteri lebih perlu dili­hat kepada hasil kerjanya dalam memacu sesebuah kementerian.

“Sebab itu, saya tidak kisah kalau latar belakang pendidikan saya dicari, digeledah atau didedahkan kerana sumbangan dalam memacu kementerian adalah pa­­ling utama,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (Ansara) Ke-19 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan warganet mula memeriksa latar belakang pendidikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulan isu pertikaian status akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Marzuki kemudiannya menjelaskan ijazah tersebut adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat selepas aktivis politik membuat laporan polis mendakwanya menipu.

Bagaimanapun, penjelasan itu terus mengundang kecaman kerana Universiti Antarabangsa Cambridge, Amerika Syarikat itu didakwa merupakan ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan tidak sah termasuk boleh dibeli.

Mengulas lanjut, Rina berkata, beliau tidak gusar dengan tindakan warganet tersebut kerana institusi pendidikan dan ijazah dipegangnya adalah tulen dan diperakui umum.

“Saya tidak ada masalah de­ngan perkara itu, malah gambar saya juga keluar di majalah universiti tempat saya belajar,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Perbankan dan Pengurusan Kewangan dari Northwood University, Michigan, Amerika Syarikat.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu juga merupakan pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/nilai-kualiti-kerja-menteri-8211-rina-1.837936

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.