Pelajar Tajaan MARA Jadi Pelajar Terbaik Program Persediaan Ke Jerman GMI

Ahmad Zhafir (dua dari kiri) Menerima trofi pelajar terbaik keseluruhan

Kajang, 1 Feb 2019 – Ahmad Zhafir Yahya, bekas pelajar MRSM Tun Ghafar Baba (TGB) Melaka ini mencatat sejarah tersendiri apabila menyampaikan ucapan penghargaannya dalam bahasa Jerman sepenuhnya sebaik dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan program Persediaan ke Jerman atau German A-Level Preparatory Programme (GAPP) di GMI hari ini.

Beliau menzahirkan rasa penghargaan kepada semua pihak khususnya badan penaja, Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana memungkin impiannya untuk ke Jerman pada Mac 2019 menjadi satu kenyataan. Zhafir, anak ketiga dari lima adik-beradik yang berasal dari Bangi menyatakan impiannya mahu melanjutkan pengajian ke Jerman dalam bidang kejuruteraan mekanikal atau elektrikal bermula semasa beliau berada di Tingkatan Empat di MRSM.

Walau bagaimanapun, perjalanan ke Jerman bukan suatu yang mudah untuk digapai – No Pain, No Gain – tiada yang mudah tanpa melalui kepayahan, apatah lagi perlu fasih bertutur dalam bahasa asing dalam kurang beberapa bulan berada di GMI.

“Sebaik memulakan pengajian persediaan Jerman di GMI, cabaran utama saya ialah bersaing dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang sekolah dan semuanya tergolong dalam kumpulan pelajar pintar. Ini juga memberi tekanan kerana dengan melihat kecerdasan mereka khususnya dalam penguasaan bahasa Jerman adalah jauh ke depan berbanding saya yang tidak mempunyai asas langsung”.

Ahmad Zhafir bersama ibu dan adiknya

Tambah Zhafir lagi, “Ada sebahagian rakan-rakan telah pun mengikuti kelas bahasa Jerman di luar sebelum mula belajar di GMI. Jadi saya perlu lebih berusaha untuk mempertingkatkan lagi komunikasi saya dalam Bahasa Jerman.. Alhamdulillah, kini saya boleh bertutur dengan baik dan boleh menyampaikan ucapan dalam bahasa Jerman sepenuhnya’ ujarnya sambil ketawa.

Anak muda ini yang terpilih sebagai yang terbaik dari 116 pelajar menjadikan anugerah ini sebagai hadiah kejutan istimewanya buat ibu beliau, Profesor Dr Jamaliah Md Jahim yang merupakan staf akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga jiran institusi GMI. “Saya tak tahu yang Zhafir dipilih pelajar terbaik keseluruhan bahkan ayah Zhafir pun tidak dapat hadir kerana bermesyuarat. Kami sangat bersyukur atas anugerah ini,” ujarnya bangga bila ditanyakan perasaan beliau.

Menurut ibunya, sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, Zhafir seorang anak yang sangat mendengar kata dan seorang yang berdisiplin. “Saya memberi sepenuh sokongan pada pilihan anak-anak, baik anak perempuan mahupun lelaki. Saya juga tiada petua istimewa untuk dikongsikan kecuali sentiasa memastikan anak-anak bersarapan pagi dan mengambil vitamin bagi menguatkan imunisasi badan mereka agar boleh kekal fokus dalam pelajaran masing-masing.”

Zhafir bakal terbang ke Dussedolf Jerman pada 9 Mac 2019 ini. Seramai 116 pelajar menerima sijil tamat program persediaan Jerman atau GAPP di Dewan Gemilang Mercu Idaman di GMI di Kajang hari ini. Seramai 99 pelajar telahpun memohon visa untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah ke Jerman pada bulan Mac 2019 ini nanti. Sementara yang lain akan melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi dalam negara. Beliau bersama-sama 98 pelajar GAPP akan meneruskan pengajian di Universiti of Applied Sciences di Jerman penghujung 2019 sebaik tamat program intensif dan Peperiksaan TesDAF Bahasa Jerman.

GMI menjalankan program Pra Persediaan ke Jerman (GAPP) bagi pelajar tajaan MARA (MARA Young Talent Program), JPA, Bank Negara dan Yayasan Sarawak. Pengambilan 2019 ialah pada Julai 2019 ini. Untuk keterangan lanjut hubungi 03 8921 9191, emel marketing@gmi.edu.my atau laman web www.gmi.edu.my.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.