Tuah Inovasi Kolaborasi UTHM, UiTM Dan KPTM Menangi Pingat Emas Seoul International Invention Fair (SIIF) 2018

Dari kiri : Ketua Penyelidik, Dr Norfaiza (UTHM) bersama Mohd Erwandi (KPTM) dengan piala dan pingat emas yang dimenangi.

Seoul – Tuah kolaborasi inovasi dan penyelidikan, Pensyarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat, Mohd Erwandi Marwan dengan Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Nofaiza Fuad (Ketua Penyelidik) dan Engku Nasri Engku Nasir serta Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Ir Dr Mohd Nasir Taib dan Prof. Madya Dr. Rozita Jailani telah memenangi pingat emas dengan projek Development Of A 3D EEG Feature Extraction For Brain Balanced Index (BBI) Using Artificial Neural Network (ANN) sekaligus menewaskan 500 peserta dari seluruh dunia dalam pertandingan Seoul International Invention Fair (SIIF) anjuran Korea International Trade Association bertempat di COEX Convention Center, Samseong-dong, Gangnam, Seoul pada 5 hingga 9 Disember 2018.

Menurut Erwandi, inovasi ini meruapakan pembangunan algorithma dan sistem yang mengesan corak gelombang otak manusia dengan menggunakan metodologi Brain Balance Index dan Artificial Neural Network (ANN). Pembangunan algoritma adalah asas kepada mana- mana aplikasi yang menggunakan corak gelombang otak. Antara aplikasi penggunaan ini adalah untuk mengesan beberapa parameter dalam potensi perkembangan insan.

“Idea inovasi ini tercetus dari salah satu bidang yang semakin berkembang dalam biologi dan psikologi manusia. Kami mengenalpasti terdapat keperluan untuk memudahcara pengesanan dan rawatan kepada penyakit yang berkaitan dengan mental dan psikologi,” katanya.

Projek ini bermula dari awal tahun 2018 dan mula dipersembahkan dalam pertandingan Malaysian Technology Expo (MTE) 2018 di peringkat kebangsaan. Hasil dari maklumbalas projek ditambahbaik dan dipersembahkan di peringkat Asia di Pulau Pinang dan Acheh, Indonesia. Peringkat akhir projek ini dipersembah dalam SIIF 2018 di Seoul, Korea Selatan.

Tambah beliau, kejayaan ini adalah kejayaan bersama dan memberi motivasi kepada kami untuk terus berinovasi walaupun kami masih mengajar.

“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama dan akan menaikkan semangat kami untuk sentiasa kreatif dalam berinovasi,” kata Erwandi.

Pertandingan ini bertujuan menghimpunkan para pencipta dari seluruh dunia dengan informasi komprehensif dalam penciptaan secara komersil, maklumat paten dan pemindahan teknologi.

Sasaran pertandingan ini adalah kepada pihak pengeluar, pencipta, pengedar, firma perlesenan dan sektor pendidikan di mana mengetengahkan idea dan paten yang diperakui oleh Korean Intellectual Property Office serta mendapat sokongan daripada World Intellectual Property Organization (WIPO) dan International Federation of Inventors’ Associations (IFIA).

Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada semua tenaga pengajar dan juga pelajar-pelajar IPMa untuk terus berinovasi.

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.