Usahawan AURA MARA azam bantu lahir usahawan baru

Shahrol (kanan) bersama YB Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat hasil dari ladang yang diusahakannya.

Oleh: Zuraini Sainal
media@mara.gov.my

Cameron Highlands, 18 Januari – Pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat kementerian, negeri dan MARA, Shahrol pemilik SH Agro Highlands berhasrat untuk memperluaskan lagi rangkaian perniagaan beliau ke peringkat global dan mendidik lebih ramai usahawan baru terutamanya di kawasan beliau.

Anak muda kelahiran Cameron Highlands yang berusia 29 tahun ini telah memenangi Rural Business Challenge (RBC) Peringkat Cemerlang pada 2013 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Ikon Usahawan Pahang 2016 dan Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2016 Kategori Belia anjuran MARA.

Sinonim dengan nama Cameron Highlands yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara maka kesempatan tersebut digunakan oleh beliau dengan membuka perusahaan penanaman strawberi dan chalet yang menjadi pilihan rangkaian perniagaannya.

Beliau mengusahakan sebanyak 32 unit chalet dengan bantuan tenaga pekerja tempatan yang mana chalet tersebut dilengkapi dengan dewan dan ruang makan yang lengkap. Di samping itu juga beliau turut mengusahakan lebih 100,000 pokok strawberi dengan teknologi fertigasi bertingkat (aerofertigasi) serta mempunyai pusat jualan (One Stop Centre) dan cafe berkonskepkan dalam ladang strawberi.

One Stop Centre tersebut menawarkan jualan pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan produk tempatan Cameron Highlands dan para pengujung boleh memetik sendiri strawberi dengan harga yang berpatutan.

Shahrol yang telah beberapa kali mengikuti latihan business coaching anjuran MARA berasa amat bertuah kerana diberi peluang dan ruang yang semestinya tidak disia-siakan dalam mengembangkan perniagaannya.  Pusat Jualan (One Stop Centre) yang berkeluasan hampir 1 ekar milik Shahrol turut dikunjungi oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar semasa lawatan kerja ke Pahang.

“Jika sajian ikan patin menjadi menu tempatan terkenal negeri Pahang strawberi pula adalah buah tangan wajib yang hanya boleh didapati di Cameron Highlands sahaja” menurut Shahrol dalam sesi taklimat tersebut.

Dalam satu majlis yang berasingan, Datuk Seri turut meluangkan masa bersama hampir 100 orang usahawan MARA negeri Pahang di sini.  Beliau menyarankan agar para usahawan perlulah melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dalam memantapkan lagi perniagaan.

“Para usahawan perlulah sentiasa mempertingkatkan diri dengan pelbagai ilmu umpamanya ilmu pengurusan kewangan dalam memantapkan lagi kedudukan kewangan syarikat di samping peka dengan kewujudan teknologi terkini yang boleh membantu mengembangkan perniagaan di samping sentiasa kreatif dan berinovasi dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan masing-masing” katanya.

Beliau turut menyarankan agar para usahawan perlulah sentiasa berusaha dan menjadikan program bual bicara ini sebagai platform dalam memperluaskan rangkaian perniagaan para usahawan.

Tambah beliau, kementerian akan sentiasa menyokong dalam membantu para usahawan dalam memajukan perniagaan melalui agensinya iaitu MARA dengan menawarkan pelbagai inisiatif seperti latihan, pembiayaan dan premis perniagaan.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.