IRDINA ANAK PEMANDU TEKSI BERCITA – CITA MENJADI SEORANG DOKTOR TERKEMUKA DI TANAH AIR

Irdina (kiri) bersama-sama adik-beradik mengemas katil di asrama MRSM

Sebaik melangkah ke dalam Dewan MRSM Sungai Besar (Subes) kami tersenyum dan berasa seronok melihat suasana dewan itu yang dipenuhi dengan pelajar baru  mendaftar hari ini.  Semua berjalan lancar, meriah dan pelajar berpakaian kemas, bersemangat dan gembira. Kelihatan ibu bapa sibuk bertanyakan pelbagai soalan, malah ada yang bersembang riang sambil memimpin dan mendukung ank kecil. Ada juga para ibu bapa yang sibuk berkenalan satu sama lain.

Kedatangan kami disambut oleh pelajar-pelajar senior MRSM Subes yang ramah dan petah menggunakan dwi bahasa apabila membuat pengumuman. Bahasa yang digunakan sangat jelas dan mudah difahami.

Terdetik dihati kami betapa beruntungnya mereka menjadi insan terpilih untuk mengikuti sistem pengajian di MRSM, tinggal di asrama dan belajar berdikari. Di sini akan bermula episod baru mengenali rakan – rakan yang datang dari pelbagai ceruk kampung, daerah dan bandar untuk sama – sama meneruskan perjuangan dalam merealisasikan sebuah impian.  Asrama menjadi tempat untuk menyemai bait – bait kasih sayang, mengenali rakan-rakan baru dan ibarat rumahku syurgaku sepanjang dua tahun berada di MRSM Subes ini.

Kami tidak melepaskan peluang mengambil gambar detik gembira mereka di setiap sudut dewan. Tiba–tiba mata terpandang sepasang suami isteri yang lembut berbicara menenangkan anak yang akan ditinggalkan sebentar lagi.Si anak seperti tidak rela melepaskan pelukan yang sangat erat itu. Manik – manik kecil laju menitis di atas pipi puteri pasangan tersebut hingga air mata kecil kelihatan. Dari kejauhan kami melihat  anak itu kelihatan cekal kerana anggukannya menggambarkan si puteri faham akan ucapan dan kata-kata nasihat ibunya.

Kami mula mendekati keluarga itu, semuanya ramah dan melontarkan senyuman. Ini membuatkan kami selesa untuk memulakan bicara. Encik Fathorrahman yang bekerja sebagai pemandu teksi dan Puan Yuzi Malini seorang surirumah memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana telah memakbulkan doa mereka sekian lama. Puteri sulung mereka Irdina merupakan satu-satunya anak yang berjaya memasuki MRSM Ulul Albab. Demi melestarikan impiannya untuk bergelar seorang doktor, pasangan suami isteri ini nekad untuk menghantar anak ini ke MRSM Subes meskipun berdepan dengan pelbagai masalah terutama kewangan.

“Kami datang dari Puchong, jauh juga tapi tak apa demi anak, biar penat sekarang, saya tahu dia sangat sedih tu sebab tidak pernah berjauhan, apatah lagi adik- adiknya sangat rapat denganya. Dia seorang anak dan kakak yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Dia sedar bahawa dirinya datang dari keluarga yang miskin namun dia tidak pernah rasa malu sebaliknya semakin bersemangat untuk mengubah kehidupan keluarganya suatu hari nanti. Mengimpikan kerjaya yang hebat kerana melalui pendapatan yang tinggi Irdina yakin dia mampu membantu semua adik – adiknya pada suatu masa. Itulah luahan kata- kata Puan Yuzi sambil mengesat air matanya dengan cebisan tisu di tangan kanannya.

Kagum dengan sifat positif si ibu yang percaya bahawa anaknya pasti boleh membiasakan diri di tempat baru. Kami sempat menjengah ke bilik asrama Irdina dan perbualan kami diteruskan. Gigih melihat adik-beradik Irdina yang masih kecil membantu ibu bapa mereka mengangkat barang dan mengemas katil kakak. Melihat anak-anak pasangan itu yang masih kecil meruntunkan hati kami, berlari riang tanpa mengetahui kepayahan ibu dan ayah.

Puan Yuzi menzahirkan rasa syukur “Kami berharap Irdina berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan sistem MRSM ini dapat mendidik sahsiah dirinya menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat” ujarnya sambil mengesat keringat kecil di dahi.

Apabila ditanya mengenai persiapan persekolahan Irdina, Puan Yuzi kelihatan sugul namun masih meneruskan perbualan. Beliau bersyukur kerana turut dibantu oleh adik-beradiknya namun masih belum mencukupi.

“Ayah Irdina hanya pemandu teksi dan pendapatan kami tidak menentu, memandangkan 5 beradik ini masih bersekolah, kami perlu berusaha dalam pelbagai cara dan mula berjimat cermat dari sekarang,” kata Puan Yuzi sambil memandang 4 anaknya yang lain.

Beliau menasihati anaknya Irdina agar tidak mengsia-siakan pengorbanan mereka dan belajar bersungguh-sungguh.

“Irdina mesti banggakan ibu dan ayah” Kata-kata itu membuatkan si anak tunduk sedih dan hati kami juga turut tersentuh.

Puan Yuzi dan suami tidak meminta simpati namun jelas di sudut hati mengharapkan MARA dan juga pihak maktab dapat mempertimbangkan keadaan mereka sekeluarga dan amat berterima kasih sekira anaknya menerima apa-apa bantuan yang sedikit sebanyak akan mengurangkan beban mereka.

Kami meninggalkan keluarga itu dengan seribu kenangan dan pengajaran bahawa pengorbanan ibu dan ayah tidak terbalas dan momen hari ini meninggalkan kesan di hati kami. Bumi Subes kami tinggalkan dengan pelbagai kisah suka duka untuk di bawa ke kota.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.