GIATMARA MENINGKATKAN PELUANG KEMAHIRAN BAGI PELAJAR GOLONGAN KURANG UPAYA

Muhamad Khairul Azriey (kiri) sedang melakukan latihan praktikal memasak bersama rakan pengajian

HULU LANGAT, 9 Januari – GIATMARA membuka ruang luas bagi golongan pelajar kurang upaya dari pelbagai kategori meningkatkan potensi diri di bidang kemahiran bagi memastikan sumbangan mereka diambil kira dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan bumiputera. Ini jelas diterjemahkan melalui pendaftaran tiga pelajar baru semester Januari 2019 kurang upaya dalam kategori masalah pembelajaran mengikuti pengajian Penyediaan Masakan dan Pramusaji selama 6 bulan di GIATMARA, Hulu Langat.

“Saya berasa terharu dan berterima kasih kepada GIATMARA kerana memberi peluang kepada saya mengenali potesi dan kelebihan diri sendiri walau mengetahui kekurangan yang ada pada saya.” ujar Muhammad Khairul Azriey bin Anuar, pelajar kurang upaya kateori masalah pembelajaran.

Ini turut diakui oleh Wan Azani binti Arizan dari kategori sama yang mengambil keputusan untuk mengikuti program Pramusaji di GIATMARA setelah diyakinkan oleh kedua ibubapanya bahawa lulusan dari GIATMARA mampu pergi jauh malah boleh berjaya sebagai usahawan dengan disertai pelbagai bantuan dan bimbingan yang disediakan. “Ibubapa saya bersama pengajar kursus menyakinkan saya, biarpun saya tidak cemerlang akademik, tetapi saya masih boleh cemerlang sebagai usahawan dengan acuan sendiri dan kata-kata motivasi mereka “AKU TIDAK BODOH” akan kuat saya pegang dan sentiasa sematkan dalam hati.” tutur beliau dengan sebak.

Manakala Asmadi bin Mohammad, pelajar ketiga dari kategori yang sama mendaftar di GIATMARA Hulu Langat, mendapat sokongan penuh dari keluarga dan kenalan yang pernah belajar di GIATMARA. Beliau yang mengikuti pengajian selama enam bulan di sini teruja dengan peluang penempatan perkerjaan yang dijamin dan mampu membantu mereka yang senasib untuk menjadi cemerlang kemahiran dan tidak akan tercicir dan terpinggir dari arus pembangunan ekonomi negara.

Kesungguhan melalui pendekatan ini dikuatkan lagi dengan inisiatif proaktif pengurus GIATMARA Hulu Langat, Puan Asma Laini Mohamed Asary untuk melihat mereka yang cemerlang kemahiran mendapat peluang yang sama, “Saya melihat GIATMARA adalah laluan bagi mereka yang tidak berpeluang untuk cemerlang di bidang akademik dari peringkat umur seawal 15 tahun masih mampu cemerlang di bidang kemahiran dan keusahawanan. Lebih membanggakan langkah itu bermula di GIATMARA.” ujar beliau dengan penuh iltizam.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.