MARA Realisasi Impian Aiman Ke MRSM

Nibong Tebal, 31 Disember – Hasrat Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri, 12 yang ingin menjejakkan kaki ke MRSM terlaksana apabila permohonannya ke MRSM berjaya diterima. Sudah menjadi cita-citanya untuk meneruskan pengajian peringkat menengah di sekolah berasrama penuh.

Sejak darjah lima lagi Aiman ingin menyambung pelajaran ke MRSM kerana di sana kelengkapan untuk belajar mencukupi.

Anak muda ini seorang yang serba boleh dan berbakat besar kerana selain memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), beliau juga merupakan seorang pengawas dan pernah menerima Anugerah Tokoh Pelajar. Sudah menjadi kebiasaan baginya mewakili sekolah ke pertandingan peringkat negeri seperti Pertandingan Maths Magic dan Pertandingan Saintis Muda.

Walaupun Aiman dibesarkan di dalam keluarga yang serba kekurangan, beliau tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak berjaya.

“Saya nekad ingin membantu dan mengubah kehidupan keluarga. Kami bukanlah orang senang, ayah hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibu pula suri rumah,”katanya.

“Saya belajar sungguh-sungguh kerana nak bantu ibu dan ayah. Saya amat bersyukur dan gembira kerana permohonan saya ke MRSM telah diterima dan saya tidak akan mengsia-siakan peluang ini,” ujar Aiman.

Jelas sekali, Aiman kelihatan sangat ceria ketika menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Rina Mohd Harun yang komited melawat Aiman di kediamannya di Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat, hari ini.

Menurut Rina, pihak kementerian dan MARA prihatin dalam menangani isu yang dihadapi oleh pelajar dari keluarga miskin golongan B40 dan sentiasa meneruskan polisi kementerian memberi keutamaan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Kami percaya sekiranya mereka dibantu dan diberikan peluang mendapatkan pendidikan berkualiti, mereka boleh cemerlang pada masa hadapan dan mampu mengubah keadaan ekonomi keluarga,” kata Rina.

“Saya harap kemasukan Muhammad Aiman ke MRSM dapat membantu mengubah nasib keluarganya dan cita-cita beliau untuk menjadi juruterbang tercapai,” tambah beliau.
Justeru, MARA tampil dengan program bantuan khas yang dikenali sebagai BUDI di mana para pelajar yang benar-benar layak akan diplilih berdasarkan penilaian dan kriteria tertentu yang telah ditetapkan oleh MARA.

Bagi sesi pengambilan 2019, MARA mensasarkan seramai 500 orang pelajar untuk program BUDI di seluruh negara. Bantuan yang diberikan meliputi bantuan kewangan, keperluan asas persekolahan dan aktiviti pembelajaran yang dibiayai oleh pihak MARA atau penaja.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.