Kontijen Robotik MRSM Cipta Nama Di IRO 2018

Oleh Ziela Amin
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 20 Disember – Kontijen Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah berjaya mencipta nama dalam pertandingan International Robot Olympiad (IR0) 2018 yang diadakan pada 14 hingga 19 Disember 2018 di Manila, Filipina dengan membawa pulang satu pingat emas dan tiga pingat perak dalam kategori Kreatif dan Robot In Movie.

Muhammad Haris Haiqal Muhammad Fadli (tengah) dan rakan sepasukan, Nurul Diyanah Amny Zulfikri (kanan) memenagi pingat emas di IRO 2018.

Menurut pelajar MRSM Parit yang memenangi pingat emas, Muhammad Haris Haiqal Muhammad Fadli, kejayaan ini merupakan pengalaman pertama yang bermakna buat beliau dan rakan sepasukan, Nurul Diyanah Amny Zulfikri di mana mereka berdepan dengan cabaran sengit terutamanya peserta dari New Zealand, namun berkat kesungguhan dan latihan, akhirnya mereka berjaya meraih kemenangan.

“Ini pengalaman pertama kami memenangi pingat emas di pertandingan peringkat antarabangsa. Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan ini demi negara dan MARA,” katanya.

Tambah guru Fizik MRSM Kubang Pasu, Muhammad Za’im Kassim, MRSM merupakan platform terbaik bagi melahirkan bakat muda yang inovatif bagi menyokong inovasi negara dalam menghasilkan idea yang kreatif.

“Ini adalah kelebihan pelajar yang mengikuti pengajian di MRSM. Mereka akan didedahkan dengan pertandingan seumpama ini dan berpeluang menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa,” kata beliau yang turut berterima kasih kepada Bahagian Pendidikan Menengah MARA kerana memberi peluang untuk menyertai pertandingan ini.

Dua pingat perak dalam kategori kreatif dimenangi oleh pelajar-pelajar MRSM Kota Kinabalu, Mohd Hiddan Maksan dan Joeyanatasa Jona Dapanis serta MRSM Kubang Pasu, Muhammad Faiq Tajuddin dan Akmal Hakim Mahmud. Satu pingat perak dalam kategori Robot In Movie turut dimenangi oleh pelajar-pelajar MRSM Sultan Azlan Shah, Muhammad Aisy Mohd Hisyam dan Daniel Shaquille Adam Craig Jayaprakasam.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.