Oleh: zahemi@mara.gov.my
KUANTAN, 10 Disember – Majlis Podium Perdana Siswa IPMa 2018 yang diadakan bagi kali ke-8 sejak 2010 berlangsung meriah di Kolej Profesional MARA, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Di majlis ini, seramai 64 pelajar daripada 16 kategori berserta 7 anugerah diiktiraf sumbangan dan pelibatan cemerlang mereka dalam bidang kokurikulum di peringkat kolej, kebangsaan dan juga antarabangsa.
Menurut Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, pengiktirafan ini perlu bagi menyuntik semangat kepada warga MARA untuk terus berinovasi dan mengenal pasti potensi diri melalui pelbagai cabang ilmu yang diperkenalkan melalui sistem pendidikan MARA.
“Penguasaan bidang ilmu dengan keterampilan hebat perlulah seiring dengan nilai integriti dan moral yang tinggi dalam membina profesionalisma kerjaya yang kukuh” katanya di majlis perasmian di sini.
“Pelbagai kategori Anugerah Tokoh Siswa meliputi Kelab, Pasukan Beruniform, Sukan, Khidmat Masyarakat, Inovasi, Keusahawanan dan Pengurusan yang dipertandingakan terbukti dapat menyediakan pakej lengkap sebagai seorang gradúan yang berintegriti, berkemahiran, berkaliber dan tinggi semangat kesukarelawannya” ujar beliau lagi.
Saudari Nur Lailatulla A’dhawiyah bt. Che Yahya dari Kolej Profesional MARA, Ayer Molek, Melaka dipilih sebagai Pemenang Anugerah Tokoh Siswa IPMa 2018 bukan sahaja di atas sumbangan beliau di peringkat kebangsaan tetapi juga atas pelibatan beliau dalam bidang sukan bola jaring di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat gangsa di Asia Netball Champhionship pada September yang lepas.
“Pengiktirafan peranan tenaga pengajar dalam membantu dan memperkasa kepelbagaian fungsi kokurikulum di kalangan pelajar mampu memberi pengkukuhan terhadap peranan dan sumbangan mereka.” ujar Saudara Fareez Ashraf bin Mahzan, pensyarah dari Kolej Profesional MARA, Ayer Molek yang memenangi kategori Anugerah Pembangunan Siswa Cemerlang: Penasihat/Penyelaras Cemerlang.
Hadir bersama di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, YBhg. Dato’ Mohamed Roseli Dol bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi, Tuan Haji Abd. Hamid Haji Ahmad.