Kejohanan Silat Olahraga Terbuka Tangkak 2018 Berlangsung Meriah

Fazli Rizal Ismail (tengah), bergambar kenangan bersama pesilat yang menyertai Kejohanan Silat Olahraga Terbuka Tangkak Johor 2018.

Oleh:
Muhamad Nurhadi Salleh@KKTM Ledang

TANGKAK, 8 Disember – Kejohanan Silat Olahraga Terbuka Tangkak Johor 2018 yang julung kali dianjurkan di Dewan Al-Khindi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang berlangsung meriah dan berjaya. Kejohanan ini akan dicadangkan untuk dijadikan sebagai kejohanan tahunan di KKTM Ledang dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Sendeng Kg Baru Bukit Katil (PSSSKBBK) atau mana-mana persatuan silat yang berminat.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, kejohanan empat hari bermula Rabu lalu berjaya menarik penyertaan diluar jangkaan daripada pesilat seluruh negara, antaranya dari Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Johor dan banyak lagi.

“Seramai lebih 400 orang pesilat yang terdiri daripada lebih 30 persatuan silat dan sekolah serta institusi telah mengambil bahagian untuk 4 kategori iaitu kategori Institusi Pendidikan MARA (IPMa), Pra Remaja, Usia Dini & Tunas Harapan”, katanya pada majlis perasmian di sini.

“Kami tidak menyangka berjaya menarik penyertaan memberangsangkan dalam kejohanan kali pertama ini. Lagipun perancangan penganjuran kejohanan ini hanya selama kurang tiga bulan saja. Namun dengan penyertaan ramai dan kelancaran kejohanan ini menjadikan kami yakin untuk menjadikannya sebagai program tahunan,” katanya.

Pasukan Silat Sunda Asli telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan silat edisi kali ini dengan membawa pulang 7 pingat emas, manakala Pasukan Silat Panglima Bugis berpuas hati di tempat kedua. Juara bagi kategori Institusi Pendidikan MARA (IPMa) pula disandang oleh MARA Japan Industrial Institute (MJII) Beranang.

Turut hadir, wakil Ahli Parlimen Ledang, Naqiuddin Zairi, NYDP Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Negeri Johor, Azman Hj Ayun, Pegawai MARA Daerah Tangkak, Shahrulazli Jaafar dan Pengerusi Persatuan Silat Sendeng Kg Baru Bukit Katil, Muhamad Firdaus Salihien.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.