Tiga pelajar MRSM ditaja ke Sillicon Valley, USA

Kuala Lumpur, 6 Disember – Tiga pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak (TAR), Pahang dirai dalam majlis sending-off hi-tea setelah muncul naib juara National Science Challenge (NSC) 2018 yang telah berlangsung pada 13 September lalu.

Kesemua pelajar akan di bawa melawat ke Silicon Valley USA yang merupakan pusat teknologi dan inovasi terbesar dunia bermula 9 hingga 16 Disember ini.

Lawatan ini ditaja sepenuhnya oleh Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur yang merupakan ganjaran atas kemenangan di pertandingan NSC 2018 yang lalu di samping cek bernilai RM1,200.

Menurut guru pengiring Ismadey Ismail berkata, lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih meluas kepada pelajar dan melawat pusat penyelidikan untuk melihat lebih banyak inovasi dan kecanggihan teknologi dunia.

“Program seperti NSC akan membantu mencipta kesedaran lebih besar tentang kepentingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta membangunkan bakat baharu. Sains bukan saja menyeronokkan tetapi banyak perkara baharu dan kerjaya menarik hari ini seperti usahawan teknologi selaras dengan pembangunan dalam bidang STEM.” katanya.

Tambah Ismadey, kejayaan ini akan mendorong pelajar MRSM untuk membuat persediaan yang lebih baik pada penyertaan NSC 2019.

Pasukan MRSM TAR telah diwakili oleh Farah Adriana Sofea Faizal, Nurul Adlina Shamsul Kamal dan Irfan Roslan.

Majlis hi-tea  ini telah diadakan pada 5 Disember 2018 di Networking Lounge Ministry of Energy, Science, Technology, Environment & Climate Change (MESTECC) Putrajaya.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.