BKT Ungguli Kajian Penilaian Outcome (KPO) Sempena Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2018

Pemenang Kategori Penilaian Outcome Terbaik Inovasi KPLB 2018 – Bahagian Kemahiran dan Teknikal

Oleh : harlina@tvetmara

PUTRAJAYA , 4 Disember 2018 – Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA (BKT) menjuarai Kajian Penilaian Outcome (KPO) 2018 sempena Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2018 yang diadakan di Dewan Seri Lestari, KPLB, Putrajaya.

KPO bagi Program MARA – Petronas telah dinobatkan sebagai KPO terbaik berdasarkan impak dan outcome yang sangat besar kepada pelajar dan masyarakat terutama golongan bawah B40 dan luar bandar.

“Program ini berjaya mengangkat martabat pelajar TVET MARA daripada yang keciciran dalam pelajaran sehingga menjadi insan yang berjaya dan kejayaan yang lebih besar, ada yang berjaya menjadi usahawan yang berjaya” menurut Tuan Haji Mahzan, Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal,

Program kerjasama MARA-Petronas ini telah dilaksanakan sejak tahun 1992 di Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin dengan menawarkan Latihan Lanjutan Kimpalan 6G (SMAW, GTAW & 6GC). Terdapat 3 pusat lain yang terlibat dengan program ini iaitu IKM Tan Sri Yahya Ahmad, Pahang, IKM Kota Kinabalu, Sabah dan IKM Sungai Petani, Kedah. Jangkamasa latihan adalah selama 3 bulan dengan 15 hingga 20 orang bagi setiap sesi.

Kajian terhadap KPO ini adalah selama 5 tahun iaitu mulai tahun 2012 – 2017. Hasil kajian menunjukkan seramai 90.7% kebolehpasaran lepasan pelajar bekerja di dalam dan luar negara selepas 6 bulan tamat pengajian. Manakala 86.9% lepasan pelajar mendapat pendapatan tinggi selepas menamatkan program.

Program MARA-Petronas ini telah berjaya menambat hati panel penilai dan mengalahkan 4 (empat) peserta lain. Hasil kejayaan tersebut, BKT berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000.00 beserta piala dan sijil penghargaan.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.