Pelajar MRSM Ungguli International Youth Robot Competition (IYRC) Thailand 2018

Muhammad Izzat (dua dari kiri) serta rakan sepasukan bergambar kenangan dengan trofi dan sijil yang dimenangi.

Kuala Lumpur, 3 Disember– Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ungguli International Youth Robot Competition (IYRC) 2018 apabila berjaya merangkul 1 pingat emas dan mendapat tempat ke 7 dalam acara Humanoid Mission Challenge menewaskan 88 penyertaan dari pelbagai negara.

Pasukan MRSM diwakili oleh Muhammad Izzat Nukman Nasarudin, MRSM Muadzam Shah, Muhammad Amrin Firdaus, MRSM Pendang dan Nur Danial Hakim Norhaslizam dari MRSM Kubang Pasu. Muhammad Izzat Nukman yang memenangi Gold Prize merupakan pelajar Tingkatan 1.

Menurut guru pengiring, Hafizan Mohd Hassan berkata, cabaran pertandingan ini memerlukan peserta menyelesaikan 5 misi seperti mengangkat objek dan menyepak bola dengan catatan masa terpantas.

“Pertandingan ini amat sengit kerana kami bertanding dengan peserta handal dari negara lain dalam kategori yang sama seperti Korea dan Laos. Peserta memerlukan tahap konsentrasi , kekuatan mental dan kemahiran dalam pengaturcaraan robot Line Core,” kata Hafizan.

Tambah Hafizan, bidang inovasi robot ini sangat penting dan pembudayaan cintakan sains ini perlu diberi penekanan dalam melahirkan lebih banyak pakar sains yang baharu.

IYRC 2018 telah berlangsung pada 30 November hingga 1 Disember yang lalu bertempat di Universiti Chulalongkorn, Thailand melibatkan 900 penyertaan dari 34 buah negara seperti Korea, China,Filipina , Rusia dan Amerika Syarikat.

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.