MARA juara kejohanan sepak takraw MARA-PSM Open 2018

Barisan depan dari kanan, Mohd Syahir Rosdi (tekong), Azhar Sarabini (Jurulatih), Mohamad Azlan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Alias (apit kanan) berjaya menewaskan regu MASUM UPM di pusingan akhir.

SELANGOR, 3 Disember 208 – Pasukan sepak takraw Majlis Amanah Rakyat (MARA) muncul juara kategori terbuka Kejohanan Sepak Takraw MARA-PSM Open 2018 yang berlangsung di German-Malaysian Institute (GMI), Bangi semalam.

MARA B yang diwakili oleh Mohd Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) berjaya menewaskan regu MASUM UPM dengan kutipan mata 17-21, 23-21 dan 21-18 di pusingan akhir.

Jurulatih MARA, Azhar Sarabini , berpuas hati dengan permainan ditunjukkan barisan pemainnya dan memberikan pujian terhadap servis bertenaga dan kawalan gelanggang yang baik meskipun setiap pasukan yang mengambil bahagian memberi cabaran kepada pasukan mereka.

“Kejayaan MARA ini sudah tentu membanggakan dan menjadi pendorong kepada kejayaan lain di pertandingan yang akan datang dan MARA akan berusaha lebih gigih mulai sekarang,” katanya.

Bagi Mohd Syahir, ini kejayaan pasukan dan masing-masing fokus dan mengurangkan kesilapan walaupun kami hilang tumpuan pada set pertama.

“Setiap perlawanan menjadi semakin sukar dan kami tidak boleh hilang tumpuan, sedikit kesilapan pada set pertama menyebabkan MASUM UPM berjaya mencuri set tetapi kami fokus dan menunjukkan kerjasama sepasukan yang tinggi untuk menang,” ujar Syahir yang juga warga kerja MARA.

Pada kejohanan berkenaan, MARA turut menghantar dua lagi penyertaan kategori terbuka dan veteran namun masing-masing berjaya ke peringkat kalah mati serta kumpulan.

Kejohanan Sepak Takraw MARA-PSM 2018 adalah anjuran Kelab Sukan Dan Rekreasi MARA (KRSM) dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sempena sambutan Hari MARA Ke-52. Jersi pemain sepak takraw MARA ditaja oleh Starace Apparels.

Majlis penutupan kejohanan ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf.

GMI menjadi tuan rumah kejohanan ini memandangkan ia menjadi pusat latihan Sepak Takraw Pasukan Malaysia yang telah memenangi pingat emas di Sukan Asia 2018 sebelum ini.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Korporat. Bookmark the permalink.