KIM berupaya hasil ratusan produk bertaraf persijilan GMP, HACCP, HALAL, MESTI dan ISO

Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat produk-produk yang dihasilkan di KIM

Oleh : Aidarina
media@mara.gov.my

Kelantan, 25 November – Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, mengadakan lawatan kerja ke Kawasan Industri MARA (KIM) Pengkalan Chepa yang menempatkan sebanyak 104 buah kilang dengan keluasan 25 ekar.

Menurut YB Datuk Seri Rina, beliau amat berbangga dengan keupayaan pengilang di KIM yang berjaya mengeluarkan ratusan produk bertaraf persijilan GMP, HACCP, HALAL, MESTI dan ISO.

Tambah beliau, usahawan-usahawan di sini berjaya menghasilkan produk-produk yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta berjaya memasuki pasaran eksport yang mencecah nilai sebanyak RM10 juta setahun.

Dalam lawatan tersebut, YB Datuk Seri Rina juga diberi taklimat daripada tiga usahawan berjaya iaitu Seri MH Ummi Sdn. Bhd., I-Medikel Group dan Seri WV Sdn. Bhd.

Dua produk baru, HIMAX 5, sejenis produk kesihatan keluaran syarikat DRK Network dan BURGER BAKAR 3B keluaran syarikat Maju Sabar Trading juga turut dilancarkan oleh YB Datuk Seri Rina.

Purata jualan tahunan kelima-lima syarikat : Seri MH Ummi Sdn. Bhd. sebanyak RM5.8 juta, Syarikat I-Medikel Group pula mencecah sebanyak RM7 juta, Seri WV Sdn. Bhd. sebanyak RM2.4 juta, DRK Network sebanyak RM300,000 dan Maju Sabar Trading yang terkenal dengan burger bakarnya sebanyak RM350,000 setahun. Manakala purata jualan pengilang-pengilang KIM yang lain adalah di antara RM400,000 hingga RM1 juta setahun.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KPLB, Puan Hajah Norison binti Ramli dan delegasi serta agensi di bawah KPLB.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.