Oleh zuraini@mara.gov.my
Kuala Lumpur, 17 November – MARA prihatin dalam usaha membangunkan pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak tadika MARA dan pada masa yang sama menjaga kebajikan ibu bapa yang berkhidmat dengan MARA.
Tadika MARA yang telah wujud sejak 1983 lagi mula beroperasi di Bangunan Lama MARA, Jalan Tunku Abdul Rahman dan telah berpindah ke beberapa lokasi dan kini telah beroperasi sepenuhnya di Bangunan TH Perdana.
Dalam satu Majlis Graduasi dan Pra-Graduasi Tadika MARA 2018 yang telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Sumber Manusia (BSM) MARA, Salleh Abdullah, beliau turut menzahirkan penghargaan dan mengalu-alukan mana-mana pusat dan bahagian yang sudi mengadakan kerjasama dalam usaha membangunkan program yang bersesuaian demi perkembangan fizikal dan mental mereka.
“Dari aspek pengetahuan dan kompetensi guru-guru Tadika MARA, BSM sendiri sedang dalam usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan guru-guru ke peringkat diploma iaitu Diploma Pendidikan Awal kanak-kanak sepertimana kelayakan asas yang diperlukan oleh Kementerian Pendidikan” katanya.
Tambahnya lagi, usaha ini sebagai langkah agar para guru dapat menyampaikan modul pembelajaran dengan lebih berkesan, menarik serta mempunyai pengetahuan dan kompetensi untuk mengenalpasti dan mengesan anak-anak yang mempunyai masalah pembelajaran lebih awal.
Justeru, institusi cilik tersebut turut mendapat kerjasama dari beberapa bahagian dan pusat MARA umpamanya menerima sumbangan 10 unit komputer dari Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) yang mana ianya memudahkan penyediaan bahan-bahan pembelajaran.
Bahagian Teknologi Kreatif MARA (BTKM) turut membantu dalam melatih para guru dengan kemahiran komputer, Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) juga turut melatih mengajar dalam Bahasa Inggeris serta GiatMARA dengan aktiviti kemahiran untuk kanak-kanak.
Penambahbaikan dari aspek korikulum pendidikan turut dilaksanakan pada tahun lalu dengan menggunakan asas Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
Sempena majlis tersebut seramai 80 orang kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun telah diraikan sempena tamat pengajian tahap masing-masing.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan bakat oleh kanak-kanak tadika di hadapan ibu bapa mereka yang mana ianya menjadi platform dalam menonjolkan keyakinan diri di hadapan orang ramai.